Cara Simpan Duit Dengan Sistem Second Brain

“Ke mana sebenarnya duit aku hilang?”. Soalan itu sering muncul apabila melihat baki akaun simpanan pada tahun baru. Lebih memenatkan apabila kepala terasa penuh dengan banyak impian lain, seperti pergi melancong, menyambung pelajaran dan menyenangkan ibu bapa. Lama-kelamaan, semuanya terasa semakin serabut.

Apa masalah sebenarnya?

Masalah saya bukan sekadar duit tidak cukup, tetapi juga selalu lupa. Saya sedar ini adalah perkara kecil. Tetapi kesannya jelas pada tahun baru apabila simpanan tidak meningkat. Saya lupa perbelanjaan kecil yang saya buat semalam. Saya juga lupa matlamat simpanan sendiri. Akhirnya, duit keluar hari demi hari tanpa disedari.

Kenapa ini berlaku?

Pada mulanya, saya fikir saya cuma kurang disiplin. Namun, selepas diperhatikan, puncanya lebih besar iaitu fikiran terlalu penuh. Setiap hari, otak perlu membuat terlalu banyak keputusan. Contohnya, “Apa mahu dibeli?”, “Apa mahu dibayar?”, dan “Apa mahu disimpan?”. Apabila semuanya disimpan dalam kepala, mental mula penat. Akibatnya, keputusan menjadi semakin lemah.

Bagaimana membuat kepala terasa ringan?

Jangan simpan semuanya di kepala. Simpan maklumat penting di luar kepala. Saya terjumpa idea Building a Second Brain (Membina Otak Kedua). Pada awalnya, saya sangka ini cuma sistem nota biasa. Rupa-rupanya, ia bukan biasa, tetapi luar biasa ringkasnya. Ideanya mudah iaitu Capture, Organise, Distil, Express [CODE].

Capture bermaksud menangkap maklumat penting supaya tidak hilang.
Organise bermaksud menyusun maklumat di tempat yang betul supaya mudah dicari.
Distil bermaksud meringkaskan maklumat kepada isi paling penting supaya mudah difahami.
Express bermaksud menggunakan maklumat untuk membuat keputusan yang lebih baik.

Sedikit demi sedikit, beban dalam fikiran mula terasa lebih ringan.

Bagaimana sistem CODE ini membantu kita membuat keputusan?

Saya mula dengan langkah kecil, iaitu mencatat semua maklumat duit dalam satu tempat. Maklumat duit itu terdiri daripada perbelanjaan harian, matlamat simpanan, senarai keinginan dan harga barang penting. Kemudian saya mula menyemak semuanya. Adakah duit kecemasan ada tempatnya? Adakah belanja bulanan ada hadnya? Apakah barang yang mahu dibeli ada senarainya? Hal ini membantu saya membuat keputusan kewangan dengan lebih jelas.

Apakah hasil melakukan sistem CODE ini?

Selepas beberapa minggu, sesuatu mula berubah. Tanpa saya sedari, simpanan mula bergerak. Saya semakin jarang membeli secara spontan. Saya mula nampak corak kebocoran duit. Fikiran juga terasa lebih tenang. Kita mula nampak duit kita bergerak dengan arah yang jelas.

Kesimpulan

Kadang-kadang, simpanan besar bermula dengan fikiran yang lebih tersusun. Dulu saya fikir menyimpan duit memerlukan motivasi tinggi. Rupa-rupanya, motivasi mudah hilang apabila kepala terlalu penat. Apa yang lebih membantu ialah sistem. Apabila sistem jelas, keputusan kita menjadi lebih baik dan lebih mudah diulang. Oleh itu, mulailah membina otak kedua (second brain) hari ini demi kesejahteraan mental dan simpanan anda. Kepala yang tersusun melahirkan keputusan yang bijak. Keputusan yang bijak melahirkan simpanan yang besar.

Cara Simpan Duit Dengan Sistem Second Brain

Index