Pernahkah anda bangun pagi dengan semangat membara mahu mengubah hidup, tetapi menjelang pukul 2 petang semuanya hilang? Persoalannya, kenapa semangat yang begitu kuat boleh lenyap hanya dalam beberapa jam? Adakah anda ingin konsisten dalam hal apapun? Sebenarnya, keinginan itu boleh dicapai dengan pendekatan SMART. SMART yang bagaimana? Dalam artikel ini, SMART merujuk kepada empat prinsip tabiat: jelas, menarik, mudah, dan memuaskan. Masalahnya bukan anda malas. Masalahnya, anda melawan psikologi otak tanpa sistem yang betul. Konsistensi bukan tentang azam besar. Ia tentang sistem yang mudah diulang. Jom bedah bagaimana menjadikan kejayaan itu satu paksaan, bukan lagi pilihan.
Jadikannya Jelas
Untuk membina konsistensi dalam apa jua perkara, kita perlu bermula dengan menjadikannya jelas (Obvious). Punca utama kegagalan ialah niat yang terlalu kabur. Oleh itu, jangan biarkan matlamat anda sekadar di dalam fikiran. Gunakan Implementation Intentions dengan menetapkan masa dan tempat yang spesifik, seperti bersenam tepat pukul 5 petang di ruang tamu. Anda juga boleh mempraktikkan Habit Stacking, iaitu menggandakan tabiat baru terus selepas tabiat sedia ada. Sebagai contoh, sebaik sahaja selesai membancuh kopi, teruskan dengan menulis jurnal. Jangan lupa mudahkan isyarat visual dengan mengubah persekitaran anda. Jika mahu minum lebih banyak air, pastikan botol sentiasa berada di atas meja kerja.
Jadikannya Menarik
Namun, kejelasan sahaja tidak mencukupi jika aktiviti tersebut membosankan. Kita perlu menjadikannya menarik (Attractive) kerana, secara psikologi, manusia lebih cenderung konsisten terhadap perkara yang menyeronokkan. Di sini, anda boleh menggunakan teknik Temptation Bundling, iaitu menggabungkan perkara yang “perlu” dibuat dengan perkara yang “suka” dibuat, seperti hanya mendengar podcast kegemaran semasa melipat kain. Selain itu, kelilingi diri dengan komuniti yang positif. Apabila anda menyertai kumpulan seperti kelab larian, tabiat yang mencabar akan mula dirasakan sebagai satu norma biasa.
Jadikannya Mudah
Seterusnya, setelah ada minat, pastikan langkah pertama anda menjadi sangat mudah (Easy). Ramai orang gagal kerana menetapkan sasaran yang terlalu besar di peringkat awal. Kuncinya adalah mengurangkan halangan (friction). Gunakan “Aturan 2 Minit” iaitu mulakan tabiat baru dengan versi yang sangat ringkas, seperti membaca hanya satu muka surat setiap malam. Untuk memastikan momentum tidak terganggu, sediakan kelengkapan lebih awal. Jika ingin ke gim pagi esok, sediakan baju dan kasut sukan di tepi katil malam ini supaya tiada alasan untuk bertangguh.
Jadikannya Memuaskan
Akhir sekali, untuk memastikan tabiat ini kekal dalam jangka masa panjang, ia mestilah memberi rasa puas (Satisfying). Otak kita direka untuk mengulang perbuatan yang memberikan ganjaran segera. Gunakan Habit Tracker untuk menandakan kalendar setiap kali anda berjaya. Melihat rantaian kejayaan yang tidak putus akan memberikan kepuasan visual yang luar biasa. Anda juga boleh memberikan ganjaran kecil kepada diri sendiri selepas menyelesaikan rutin yang sukar. Paling penting, pegang prinsip “Never Miss Twice“: jika terlepas sehari, pastikan anda kembali bangkit pada hari seterusnya tanpa gagal.
Kesimpulan
Pada akhirnya, tabiat bukan tentang apa yang anda capai hari ini, tetapi siapa anda setahun dari sekarang. Setiap kali anda susun botol air di atas meja atau baca satu muka surat buku, anda sebenarnya sedang memberikan ‘undian’ (vote) untuk identiti baru anda. Berhenti tunggu motivasi datang, sebab motivasi itu datang dan pergi macam tetamu yang tak diundang. Bina sistem yang kita bincangkan tadi: Jadikan ia jelas, menarik, mudah, dan memuaskan. Ingat, satu hari yang terlepas bukan kegagalan, tapi dua hari yang terlepas adalah permulaan tabiat baru yang buruk. Itulah cara konsisten dalam hal apapun.
Tindakan kecil membina tabiat.
Tabiat membina identiti.
Identiti akhirnya membina masa depan.
