IPeribahasa melayu sinonim dalam gaya hidup majoriti rakyat Malaysia sejak dari bangku sekolah lagi. Tidak kira yang muda atau yang tua, masing-masing akan menyukai satu hingga tiga peribahasa sebagai pegangan perjuangan hidup. Namun, istimewanya dalam konten ini ialah 15 peribahasa melayu yang disusun khas untuk memotivasikan anda konsisten dalam mencapai kejayaan. Semoga dalam 15 peribahasa ini, ada yang satu yang tepat sesuai dengan jiwa anda.
1. Ibarat menarik rambut di dalam tepung
Peribahasa ini bermaksud sesuatu masalah rumit yang mesti diselesaikan secara berhati-hati. Ini menekankan betapa pentingnya menyelesaikan masalah dengan berhati-hati, agar tidak mengganggu rancangan semasa. Untuk menyelesaikan masalah dengan cara ini, anda perlu menganalisis situasi dengan teliti, merancang langkah-langkah yang tepat, dan melaksanakannya dengan cermat. Contohnya, Mat Kilau dalam filem Mat Kilau tidak bersetuju dengan rancangan Awang kerana rancangannya akan membangunkan musuh mereka dari tidur.
2. Yang secupak takkan jadi segantang
Peribahasa “yang secupak takkan jadi segantang” bermaksud Sesuatu yang tidak dapat diubah lagi. Peribahasa ini penting kerana menekankan realisme dan kesedaran terhadap had dan batasan berdasarkan sumber dan kemampuan yang ada. Ini boleh dilakukan dengan mengenalpasti dan menerima had kemampuan, merancang strategi dan objektif yang realistik serta memperbaikinya secara beransur-ansur. Contohnya, Warren Buffett bermula dengan pelaburan kecil menggunakan strategi jangka panjang, akhirnya menunjukkan kejayaan yang diusahakan mengikut had kemampuan diri.
3. Peribahasa Melayu Alah bisa tegal biasa
Peribahasa “Alah bisa tegal biasa” bermaksud sesuatu yang sukar pada mulanya akan menjadi mudah apabila sering dilakukan. Ini penting kerana ia menekankan ketekunan dan kesabaran dalam menghadapi cabaran. Ini boleh dilakukan dengan latihan berterusan dan mengulangi tugas-tugas yang sukar, sehingga ia menjadi kebiasaan dan tidak lagi menakutkan. Sebagai ilustrasi, Choi Bae-dal dalam filem “Fighter in the wind” menjalani latihan keras karate sehingga ia menjadi mudah untuk dilakukan.
4. Rajin dan usaha tangga kejayaan
Peribahasa “Rajin dan usaha tangga kejayaan” bermaksud kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerja keras dan usaha yang berterusan. Peribahasa ini penting kerana menekankan bahawa kejayaan memerlukan dedikasi, kerja keras, dan ketekunan dalam menghadapi cabaran serta berusaha secara konsisten. Ini boleh dilakukan dengan menetapkan matlamat, bekerja keras, tidak mudah berputus asa, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan. Seperti Chris Gardner dalam filem “The Pursuit of Happyness,” yang bekerja keras demi mencapai kejayaan dan kestabilan kewangan.
5. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan
Peribahasa “Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan” bermaksud apabila kita melakukan sesuatu, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai. Peribahasa ini mengajar kita tentang kepentingan komitmen dan dedikasi dalam setiap usaha yang kita lakukan untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Ini boleh dilakukan dengan menetapkan matlamat yang jelas, membuat perancangan yang teliti, dan berusaha keras mencapai objektif terkecil hingga selesai. Seperti Andy Dufresne dalam filem “The Shawshank Redemption“, seorang banduan yang tidak bersalah, gigih mencari keadilan dan kebebasan dari penjara.
6. Peribahasa Melayu Direbus tak empuk
Peribahasa “direbus tak empuk” yang bermaksud sukar untuk dikalahkan. Ini menekankan pentingnya ketahanan dan daya juang dalam mencapai kejayaan. Untuk menjadi sukar dikalahkan, seseorang perlu membina mental yang kuat, berdisiplin, berusaha secara konsisten, bersikap positif dan belajar dari kegagalan. Seperti Rocky dalam filem Rocky (1976), seorang pejuang tinju yang memiliki mental luar biasa yang tidak mudah dikalahkan.
7. Melilit dulu kemudian memanjat
Peribahasa “melilit dulu kemudian memanjat” bermaksud Perbaikilah diri dulu sebelum melakukan sesuatu usaha yang lebih besar. Konsep ini menekankan bahawa kejayaan besar tidak dicapai dengan serta-merta. Sebaliknya, ia memerlukan asas persiapan dan usaha yang berperingkat. Untuk mengaplikasikan konsep ini, seseorang perlu merancang, mempersiapkan diri, mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, serta mengatasi halangan kecil dahulu. Seperti Xiao Dre dalam filem The Karate Kid(2010) diajar memperbaiki dirinya secara berperingkat sebelum mencapai kejayaan dalam pertandingan bela diri.
8. Belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam
Peribahasa ini bermaksud seseorang yang kelihatan kurang cerdas boleh menjadi bijak jika diberi latihan dan usaha yang berterusan. Peribahasa ini menekankan pentingnya kesabaran dan ketekunan dalam memperbaiki diri kerana seseorang boleh berjaya dengan usaha yang konsisten. Untuk melakukan ini, individu perlu terus berusaha dan tidak mudah berputus asa untuk memperbaiki kitaran kemahiran yang ingin dikuasai. Seperti Forrest dalam Forrest Gump (1994) seseorang yang kurang cerdik pada mulanya, berjaya mencapai kejayaan yang luar biasa dalam kehidupannya.
9. Peribahasa Melayu Genggam bara api, biar sampai jadi arang
Peribahasa ini bermaksud seseorang harus bertahan dan berusaha sehingga mencapai matlamat walaupun menghadapi kesukaran atau cabaran yang besar. Ini penting kerana menekankan ketahanan dan kesungguhan dalam mengejar impian. Untuk melakukan ini, anda perlu berazam, komited, bersedia menghadapi cabaran dan tidak mudah putus asa pada matlamat anda. Seperti Mark Watney dalam filem The Martian(2015), astronaut yang ditinggalkan sendirian di Mars dan perjuangannya bertahan hidup sambil menunggu penyelamatannya.
10. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
Peribahasa ini bermaksud sesuatu pekerjaan yang dikerjakan sedikit demi sedikit lama-kelamaan akan berhasil. Peribahasa ini menekankan pentingnya kesabaran dan konsistensi dalam bekerja kerana mengajarkan bahawa langkah-langkah kecil akhirnya akan membawa kepada pencapaian besar. Untuk mengaplikasikan peribahasa ini, seseorang perlu menetapkan matlamat jangka panjang dan berkomitmen untuk bekerja ke arah matlamat tersebut setiap hari. Seperti laluan sinaps dan neural otak manusia yang semakin digunakan akan menjadi semakin kukuh.
11. Biar lambat asalkan selamat
Peribahasa melayu ini bermaksud dalam mengerjakan sesuatu hal, janganlah terburu-buru asalkan segalanya selamat. Peribahasa ini mengajarkan bahawa kejayaan yang dicapai dengan selamat adalah lebih berharga daripada hasil yang diperoleh dengan terburu-buru dan berisiko. Ini boleh dilakukan dengan merancang, memastikan semua langkah dipatuhi, tidak tergesa-gesa membuat keputusan, pemeriksaan berulang dan mempertimbangkan risiko sebelum bertindak. Contohnya, NASA mengambil masa yang lama untuk merancang dan melancarkan misi angkasa lepas bagi memastikan keselamatan angkasawan dan kejayaan misinya.
12.Peribahasa Melayu Sediakan payung sebelum hujan
Sediakan payung sebelum hujan” adalah peribahasa yang bermaksud Seseorang itu hendaklah sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia sebelum terjadi apa-apa. Ini penting kerana mengingatkan kita agar membuat persiapan awal bagi mengurangkan risiko dan kesan buruk dari situasi yang tidak dijangka. Kita boleh melakukan ini dengan merancang, menyimpan, mendapatkan perlindungan, dan membuat pelan tindakan untuk situasi kecemasan. Ilustrasinya seperti Don dalam filem Don 2, yang telah bersedia untuk menjayakan rancangan “The Perfect Crime”nya.
13. Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati
Peribahasa ini bermaksud tindakan mengikut nafsu atau perasaan tanpa kawalan boleh membawa kepada kemudaratan atau kegagalan. Ini penting sebagai peringatan supaya berfikir rasional dan tidak membuat keputusan berdasarkan emosi, demi mengelakkan akibat buruk yang tidak diingini. Ini boleh dilakukan dengan menilai situasi sebelum membuat keputusan, mendapatkan nasihat dan belajar mengawal emosi semasa susah atau senang. Ilustrasinya seperti Harper Stern dalam drama Industry yang melakukan pelaburan berdasarkan rasa dan hatinya yang menyebabkan dia mengalami kerugian besar.
14. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
Peribahasa ini bermaksud jika sudah mengetahui akan kesalahan yang telah dilakukan hendaklah kembali ke jalan yang sebenar. Peribahasa ini penting kerana ia menekankan pentingnya kesedaran diri dan kesanggupan untuk mengakui kesilapan. Ini boleh dilakukan dengan menilai semula keputusan yang telah diambil, mengakui kesilapan, dan bersedia untuk bermula semula. ILUSTRASInya seperti James dalam filem pendek One-Minute Time Machine(2014) yang sanggup mengakui kesilapan dan bermula semula untuk memenangi hati Regina.
15. Peribahasa Melayu Usul menunjukkan asal
Peribahasa melayu ini bermaksud seseorang atau sesuatu itu biasanya menunjukkan asal-usul atau latar belakangnya melalui tindakan, tingkah laku, atau sifatnya. Memahami peribahasa ini membantu kita mengenali dan menilai seseorang atau sesuatu berdasarkan ciri-ciri yang diperlihatkan secara peribadi, sosial, dan profesional. Ini boleh dilakukan dengan memperhatikan tingkah laku dan tindakan seseorang dalam pelbagai situasi dan membandingkannya dengan asal-usul mereka. Ilustrasinya seperti Harry Hart dalam filem “Kingsman: The Secret Service” yang memperhatikan Eggsy anak kepada sahabatnya yang terkorban kerana menyelamatkannya.
Apabila disimpulkan, 15 peribahasa melayu ini boleh menjadi pelengkap motivasi anda dalam mengejar kejayaan hidup. Anda perlu beransur-ansur maju, disamping membiasakan perkara-perkara baru dengan konsisten. Percayalah jika anda konsisten berusaha, mental anda mungkin masih lemah namun fizikal anda akan menunjukkan hasilnya.