Self-talk ibarat kata laluan kepada versi terbaik diri kita. Bila kita ubah Self-talk, otak jadi keliru. Bila keliru, keputusan jadi goyah. Itulah yang berlaku pada aku bulan ini. Ceritanya macam ini…Pernah tak kau konsisten buat benda yang betul berbulan-bulan… tapi tiba-tiba satu kesilapan musnahkan momentum itu? Aku pernah buat sesuatu dan konsisten selama 95 hari. Aku jaga disiplin dan rekodkan kemajuan bermula 13 Januari 2025. Setiap hari aku catat perubahan kecil yang aku berjaya capai. Semakin hari, aku semakin percaya bahawa momentum ini boleh bertahan.
Satu Kesilapan Yang Menarik Aku Ke Belakang
Tapi bulan ini, semuanya runtuh kerana satu kesilapan. Momentum itu hilang. Aku terpaksa bermula dari kosong semula. Kesilapan itu kecil, tapi kesannya sangat besar. Aku menyesal dan rasa seperti semua usaha sebelum ini tidak bermakna lagi. Disebabkan kecewa, aku pilih untuk diam. Aku pura-pura macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi dalam hati, aku sangat marah.
Refleksi Yang Menyakitkan Tapi Mencerahkan
Waktu itu aku sedar sesuatu yang penting. Fikiran sesaat mampu musnahkan kemajuan selama 95 hari tanpa amaran. Pilihan yang aku buat waktu itu bukanlah pilihan yang bijak. Tapi aku tetap buat juga sebab emosi ketika itu terlalu kuat. Namun, kesilapan sudah pun berlaku. Aku tak boleh padamkan. Aku cuma boleh belajar daripadanya dan cari apa sebenarnya yang salah.
Pelajaran Yang Aku Temui Selepas Gagal
Hasil daripada refleksi itu, aku jumpa satu pelajaran besar. Pelajaran ini mungkin boleh selamatkan anda dari kehilangan momentum. Satu perkara penting yang aku temui ialah tentang “self-talk”. Masa aku gagal hari ke-96, aku ubah skrip minda. Sebelum ini, aku selalu ulang ayat yang sama bila ada cabaran. Tapi hari itu aku fikir, “Ah, tak apalah sekali ni ja.” Fikiran itu nampak kecil, tapi kesannya besar.
Kekuatan Skrip Minda Yang Konsisten
Sebenarnya, kekuatan aku selama 95 hari datang dari konsistennya skrip fikiran. Aku ulang ayat yang sama setiap hari:
“Lepas ni rehat, yang penting aku lebih baik dari semalam.”
Skrip itu aku ulang-ulang. Ia jadi dinding yang tahan tekanan luar. Namun pada hari ke-96, aku ubah skrip itu. Aku pilih skrip yang baru dan lemah. Aku bagi alasan dan ayat yang selesa. Malangnya, skrip baru itu tak kuat. Ia runtuhkan dinding pertahanan yang aku bina selama ini. Skrip baru itu tak diuji. Ia bukan sebahagian daripada karakter aku.
Jangan Ubah Skrip Tengah-Tengah Perjuangan
Oleh sebab itu, aku mula percaya satu pelajaran penting:
Jangan ubah self-talk yang sedang berfungsi ketika berdepan cabaran.
Sebaliknya, ulangi self-talk yang sama sehingga cabaran itu reda. Self-talk itu bukan untuk motivasi. Tapi ia adalah perlindungan. Untuk kekal konsisten, kita perlukan skrip tetap. Skrip ini ialah ayat yang kita percayai dan ulang secara automatik. Ia ringkas dan kuat. Ia bawa kita balik pada jalan yang betul, walaupun kita tergelincir.
Self-Talk Ibarat Kata Laluan Kepada Versi Terbaik Diri Kita
Self-talk ini juga adalah cara otak kita kembali ke sistem asal. Bila kita ulang, otak tahu apa nak buat. Ia macam kata laluan kepada versi terbaik diri kita. Tapi kalau kita ubah Self-talk, otak jadi keliru. Bila otak keliru, keputusan kita juga goyah. Kita mula pilih jalan mudah, bukan jalan betul. Akhirnya, satu keputusan salah musnahkan 95 hari. Tapi jika kita ulang Self-talk asal, kita masih boleh bertahan.
3 Self-talk atau Skrip Yang Baru
Sebab itu, aku cipta tiga skrip untuk diri sendiri:
-
“Bina kemajuan dulu, kemudian Bertahan.”
-
“Tak kesahlah berapa, yang penting hari ini mesti lebih baik dari semalam”
-
“Bertahan juga adalah bentuk kemajuan”
Skrip ini jadi tembok aku. Sekarang, bila datang tekanan, aku tak cari Self-talk baru. Aku cuma ulang yang lama. Ulangi sampai selesai. Bila selesai, barulah aku nilai semula.
Kesimpulan
Kalau kita mahu konsisten jangka panjang, kita tak boleh tukar senjata ketika di medan perang. Jadi, bila anda tergoda nak tukar Self-talk kau semasa cabaran datang, ingat satu perkara:
Jangan ubah Self-talk di tengah-tengah perjuangan. Ulang, ulang, dan ulang. Self-talk itulah yang akan selamatkan kau.
Kalau kau rasa artikel ini boleh bantu orang lain, kongsikan. Ramai orang sebenarnya tak gagal sebab tak cukup usaha, tapi sebab mereka ubah Self-talk terlalu awal.