Nama saya M. Santro Sondy. Saya berasal dari Kota Marudu, Sabah dan lahir pada tahun 1991. Sekarang saya bekerja sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N19 dalam perkhidmatan awam Malaysia. Saya sangat gemar membaca buku yang membantu saya meningkatkan kemahiran dan kefahaman diri sendiri.
Buku kegemaran saya ialah Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill. Buku ini ubah cara saya berfikir. Kini, saya sedang membaca Building a Second Brain oleh Tiago Forte. Buku ini tentang menyusun ilmu dan maklumat supaya otak kita tak serabut.
Saya juga suka membaca tentang kerja, pelaburan, kewangan dan pembangunan diri setiap hari. Saya suka memperbaiki kelemahan agar dapat jadi versi terbaik dalam hidup dan pekerjaan saya. Namun, saya percaya perubahan sebenar hanya berlaku apabila ilmu diamalkan secara konsisten.
Blog Ini Bermula Dengan Hasrat
Blog ini bermula dengan niat yang sangat peribadi iaitu untuk memotivasikan orang lain secara konsisten. Saya dahulu suka berkongsi kata-kata motivasi di media sosial, hampir setiap hari. Tapi sekarang saya mahu bina sesuatu lebih bernilai dan lebih bertahan lama dari sekadar motivasi. Saya mahu menyumbang kepada masyarakat melalui penulisan blog yang saya beri nama SantroSondy.com.
Ketika saya mula berazam untuk mencapai kebebasan kewangan, saya sedar satu perkara penting. Saya sedar tentang kuasa tabiat dan konsistensi yang membina asas kejayaan. Saya nampak bagaimana tabiat kecil harian mampu membina kejayaan besar dalam jangka masa panjang.
Konsisten: Prinsip Kekuatan Sejati
Konsisten bukan sekadar disiplin. Ia adalah keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan hidup yang tidak menentu. Seperti tabiat makan dan tidur, ia berubah, tapi kita tetap lakukan secara konsisten. Begitu juga dengan impian dan usaha kita. Ia perlu fleksibel, tapi mesti tetap berjalan.
Jika tiada masa, saya bahagikan masa kepada unit-unit kecil. Jika tiada tenaga, saya buat perkara paling mudah, asalkan tetap bergerak ke hadapan. Itulah maksud sebenar konsisten bagi saya: menyesuaikan usaha, bukan berhenti terus.
Konsisten adalah senjata penting untuk bermain permainan jangka panjang: iaitu permainan KEHIDUPAN. Permainan ini bermula dengan satu soalan penting: “Apa yang saya mahukan dalam hidup ini?”
Prinsip Mastery Cycle
Di blog ini, saya mengongsikan sistem yang bantu pembaca berkembang dan sesuaikan diri dengan dunia yang berubah. Sistem ini dinamakan Mastery Cycle. Ia asas kepada hampir semua konten dalam SantroSondy.com.
Saya menggunakan sistem ini selepas meneliti corak kejayaan ramai individu dari pelbagai latar belakang berbeza. Ramai berjaya apabila mereka ikut corak pembelajaran yang berulang dan progresif setiap masa. Sebagai contoh, Kongō Gumi, syarikat binaan Jepun berusia lebih 1,400 tahun, juga mengikuti prinsip peningkatan berterusan.
Syarikat ini kekal relevan kerana mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman melalui pembelajaran dan pembaikan berulang. Itulah sebabnya saya yakini bahawa kejayaan jangka panjang bukan tentang kekal sama, tetapi tentang berkembang secara berterusan. Saya menyusun corak itu supaya mudah untuk saya amalkan.
Saya sebenarya diinspirasi oleh Vinh Giang, seorang tokoh komunikasi yang banyak mempengaruhi cara saya belajar. Beliau menekankan kepentingan belajar secara aktif melalui tiga fasa utama yang sangat berkesan. Tiga fasa itu ialah:
- Try & Apply
- Review & Reflect
- Plan & Improve.
Saya belajar prinsip ini daripadanya, kemudian saya adaptasi ke dalam hidup saya sendiri secara sistematik. Saya amalkan selama beberapa tahun dan dapati ia sangat sesuai untuk pertumbuhan jangka panjang. Akhirnya, saya kongsikan semula struktur ini dalam gaya dan bahasa saya sendiri.
Sekarang, Mastery Cycle bukan sekadar teori. Ia sistem yang saya guna untuk menulis dan berkongsi nilai. Sistem ini membantu saya untuk menilai kemajuan dan terus bergerak ke hadapan dengan fokus. Jika Vinh Giang membaca halaman ini, saya percaya beliau akan bangga kerana ilmunya tersebar.
Setiap artikel saya berada dalam salah satu fasa Mastery Cycle untuk bantu pembaca bergerak ke tahap seterusnya. Saya percaya, jika kita ulang tiga langkah ini secara konsisten, kita pasti terus berkembang. Kata Vinh Giang;
You’ve just done something 90% of others won’t.
Konsistensi Adalah Kunci Kejayaan Jangka Panjang
Hidup ini memang tidak sempurna. Tapi ia menjadi indah jika kita terus ingin perbaiki diri secara berterusan. Setiap kegagalan ialah maklum balas. Setiap kesilapan ialah bahan bakar untuk kemajuan masa depan. Inilah yang menjadikan kehidupan ini menarik jika kita main dengan mindset jangka panjang.
Setiap hujung bulan, saya akan tulis artikel khas tentang KONSISTEN untuk bantu anda terus bersemangat. Saya harap anda akan lawat blog ini setiap bulan dan ambil sedikit ilmu yang berguna.
Perjalanan Ini Untuk Kita Semua
Saya percaya, pembaca blog ini bukan hanya mahu motivasi kosong. Anda mahu perubahan sebenar yang bermakna. Untuk capai perubahan itu, anda perlukan sistem yang boleh diulang dan boleh diukur. Blog ini bukan ditulis sebagai cikgu, tetapi sebagai rakan seperjalanan dalam proses pertumbuhan anda.
Selamat datang ke SantroSondy.com — tempat untuk anda belajar, berfikir dan bertindak untuk kejayaan jangka panjang.
Dikemaskini 13 April 2024.