Ramai daripada kita menyerah kalah bila merasa gagal konsisten. Bulan lepas, saya menulis tentang 100 Kitaran Alam yang Mengajar Kita Konsisten. Kita belajar bahawa setiap benda di alam ini berulang dengan tertib, dari terbit dan terbenamnya matahari semuanya berulang. Namun bulan ini, saya sedar satu perkara baru. Alam tidak selalunya stabil. Kadang-kadang, ia terganggu. Dan menariknya, daripada gangguan itu, alam belajar dan akhir kembali mencapai keseimbangan. Jika anda pada masa ini menghadapi masalah atau hilang keseimbangan dalam hidup, disini ada 10 fenomena alam yang bermasalah tapi akhirnya mencapai keseimbangan.
1. Musim yang Tak Menentu
Kadang-kadang musim bunga datang lebih awal, atau hujan turun terlalu lama. Tapi, bumi tidak menolak perubahan, ia menyesuaikan diri. Pengajarannya ialah konsistensi bukan bermaksud semua mesti berjalan mengikut plan. Kadang-kadang, ia mahu kita menyesuaikan langkah supaya tetap bergerak ke depan.
2. Gunung yang Meletus
Gunung yang senyap beratus tahun pun boleh tiba-tiba meletus. Letusan itu merosakkan, tetapi selepas itu, tanah menjadi subur. Pengajaran, kadang-kadang kita pun begitu. Bila tekanan lama dibiarkan, ia “meletus”. Namun selepas kelegaan itu, kita kembali segar dan lebih produktif.
3. Banjir yang Melimpah
Biasanya air turun dan mengalir tenang. Tapi bila hujan berlebihan, sungai melimpah. Pengajarannya ialah Emosi manusia pun begitu. Kadang-kadang terlalu banyak perkara yang datang sekaligus dan kita seperti dilanda “banjir”. Konsistensi sebenar ialah kemampuan untuk pulih semula selepas air banjir melimpah.
4. Daun Gugur Sebelum Waktunya
Musim kering kadang buat daun jatuh awal. Tapi bila masa tiba, ia tumbuh semula. Pengajarannya, kadang kita jatuh bukan kerana gagal, tapi kerana perlu berehat seketika. Itulah masa untuk akar menebal, bukannya berhenti tumbuh.
5. Haiwan yang Tak Lagi Bermigrasi
Burung kadang ubah laluan migrasi bila cuaca berubah. Pengajaran, konsistensi bukan tentang mengulang perkara lama, tapi tahu bila perlu ubah strategi agar tetap bertahan.
6. Fotosintesis Terganggu
Hari mendung berpanjangan buat tumbuhan kurang cahaya. Tapi ia tak berhenti hidup. Pengajaran, Bila hidup terasa gelap, bukan bermaksud kita gagal. Kadang cuma belum tiba masanya untuk “bersinar” semula.
7. Tidur Manusia yang Terganggu
Badan manusia pun ada kitaran. Tapi bila stres atau terlampau sibuk, tidur jadi tak teratur. Pengajarannya, Konsistensi bukan kesempurnaan tanpa gangguan, tapi tentang kebolehan kembali ke rutin bila keadaan reda.
8. Cuaca Ekstrem
Kemarau panjang, taufan, salji luar musim, ini semua adalah gangguan alam. Pengajaran, dalam hidup, yang bertahan bukan yang paling kuat, tapi yang paling cepat menyesuaikan diri.
9. Sungai yang Kering
Kadang sungai berhenti mengalir, tapi dasar itu akan hidup semula bila hujan datang. Pengajaran, rezeki pun ada musimnya. Bila mengering, bukan tanda tamat, cuma masa untuk simpan tenaga sebelum mengalir semula.
10. Hutan Terbakar
Kebakaran menghancurkan, tapi selepas itu, tumbuh hutan baru yang lebih subur. Pengajaran, begitu juga manusia. Kadang kita terbakar oleh kesilapan atau tekanan. Tapi selepas itu, kita bangkit semula dengan lebih matang dan lebih kuat.
Kesimpulan
Bila anda merasa gagal konsisten? Ingat, Konsistensi Itu Bukan Tentang Sempurna, Tapi Pulih. Alam tak selalu stabil, tapi ia selalu pulih. Kita pun begitu, kadang jatuh, kadang lambat, tapi tetap bergerak. Konsistensi sebenar bukan bila kita tak pernah terganggu, tapi bila kita tak berhenti mencuba walaupun terganggu. Tanya diri anda hari ini, Jika alam pun terganggu dan kembali pulih, mengapa tidak kita?