Membina kepercayaan tidak penting? Pernah tak orang tak percaya cakap kita? Rasa sedih, betul? Saya pun pernah rasa begitu. Kawan saya tak percaya apa saya cakap. Saya ulang cakap benda sama. Tapi dia tetap tak percaya. Masa itu saya rasa kecewa. Saya mula rasa mungkin saya salah. Tapi saya terus tenangkan diri. Saya fikir, mungkin salah cara saya bercakap. Atau mungkin saya kurang ulang tindakan. Saya faham, kepercayaan perlukan masa. Dan ia perlukan tindakan yang konsisten.
Macam Malaysia baru-baru ini. Malaysia diiktiraf APEC dalam bidang AI. Ramai negara mula percaya pada kita. Tapi itu bukan berlaku sekelip mata. Ia hasil usaha yang berulang. Malaysia buat perkara sama berulang-ulang. Akhirnya dunia mula percaya. Kita pun boleh buat begitu. Nak orang percaya kita, kena ulang tindakan. Artikel ini akan bantu anda walaupun tidak sekolah tinggi. Ia tunjuk cara membina kepercayaan perlahan-lahan. Bermula dari tindakan kecil. Kemudian tambah satu demi satu. Akhirnya kepercayaan itu terbina sendiri. Jom mula dengan langkah pertama.
Apa itu membina kepercayaan?
Sebelum itu, kita pelajari definisi membina kepercayaan. Dalam artikel ini, saya bagi 3 definisi. Satu definisi dari blog Richworks (miliki Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman). Dan dua lagi adalah definisi Interpretasi saya selepas membaca artikel dari News UTM dan Leaderonomics.
- Membina kepercayaan bermakna melalui tindakan anda yang membuatkan orang lain berasa selesa, yakin dengan kebolehan dan niat anda serta merasa termotivasi untuk bekerja dengan anda. – Richworks.com
- Membina kepercayaan ialah proses berterusan menyelaraskan kata, tindakan dan nilai secara konsisten, telus, jujur dan empati demi mewujudkan hubungan yang kukuh dan selamat dalam organisasi. – News UTM
- Membina kepercayaan ialah usaha konsisten memimpin dengan teladan, telus, dan empati agar pasukan yakin, bersatu, dan berkembang bersama. – Leaderonomics.com
Begini..
Kepercayaan itu macam jambatan. Ia sambungkan hati kita dengan orang yang kita percaya. Tapi jambatan ini tak muncul sendiri. Ia perlu dibina hari demi hari. Dan ia perlu dijaga supaya tidak runtuh. Pertama, kita kena jujur bila bercakap. Kalau tak tahu, cakap saja tak tahu. Jangan tipu, walau benda kecil. Sebab, bila orang tahu kita tipu, jambatan itu mula retak. Jadi, jujur itu batu pertama jambatan kepercayaan.
Seterusnya, kita perlu buat apa yang kita janji. Kalau janji nak bantu, tolonglah betul-betul. Kalau tak buat, orang rasa kita tak serius. Lama-lama, mereka tak mahu percaya lagi. Sebab itu penting untuk kita tepati janji. Selain itu, kita mesti dengar bila orang bercakap. Dengar dengan mata, telinga, dan hati. Kadang orang cuma nak kita faham perasaan mereka. Bila kita dengar, orang rasa disayangi.
Dan itu akan buat jambatan makin kuat. Lepas itu, kita perlu tunjuk contoh yang baik. Kalau kita suruh orang buat baik, kita buat dulu. Kalau kita suruh hormat, kita hormat dulu. Orang percaya bila kita buat dulu, bukan cakap saja. Inilah maksud jadi pemimpin yang boleh dipercayai. Akhir sekali, kepercayaan perlu dijaga selalu. Jangan hari ini baik, esok lupa semua. Buat hari-hari, bukan sekali saja. Sebab jambatan kepercayaan ini dibina perlahan-lahan. Tapi boleh runtuh dalam sekelip mata.
Bagaimana membina kepercayaan?
Saya sedia maklum setiap orang adalah berbeza. Ada yang cepat belajar dan ada yang lambat. Persamaannya ialah memiliki keinginan untuk membina kepercayaan. Asalkan anda memiliki keinginan, itu sudah cukup. Tidak kiralah anda belajar tinggi atau tidak. Kerana kemahiran ini dapat meningkatkan reputasi anda. Ini berlaku pada diri saya sendiri.
Saya seringkali merasa tidak mendapat kepercayaan. Kadang-kadang sakit juga rasanya. Tapi kebanyakkan masa, saya tidak kesah. Namun, ada masanya saya sangat-sangat perlu. Sebab saya merasa tidak penat. Jadi, untuk penatkan diri, saya membina kepercayaan. Caranya senang saja.
Pertama sekali, saya cari tahu ciri-ciri. Dari definisi kita tadi, ada ciri-ciri untuk membina kepercayaan; Antaranya ialah;
- Membuatkan orang lain berasa selesa
- Yakin dengan kebolehan dan niat
- Merasa termotivasi untuk bekerja
- Menyelaraskan kata, tindakan dan nilai secara konsisten
- Telus
- Jujur
- Empati
- Kukuh dan selamat
- Konsisten memimpin dengan teladan
- Yakin
- Bersatu
- Berkembang bersama
Kedua, setelah dapat tahu ciri-cirinya. Kita fikirkan pula tindakan untuk membuatkan orang lain berasa selesa. Ada bermacam cara untuk membuatkan orang lain berasa selesa. Salah satunya ialah berpenampilan menarik. Jika tidak menarik, Jangan risau. Saya telah susunkan ini untuk anda.
Tahap Kecil (Asas Kepercayaan)
- Kalau janji nak balas mesej, pastikan kita balas ikut masa yang dijanjikan. Ini nampak kecil, tapi ia penting. Ia tunjukkan kita seorang yang boleh dipercayai.
- Kalau orang bercakap, kita dengar dengan penuh perhatian. Kita jangan potong percakapan mereka.
- Kalau kita tak tahu jawapan, jujurlah cakap “saya tak tahu”. Jangan mereka-reka cerita palsu.
- Tepati masa bila kita janji jumpa orang. Kalau lambat, orang akan rasa kita tak serius.
- Kalau ada orang cerita benda peribadi, simpan sebagai rahsia. Jangan ceritakan pada orang lain. Kita kena jaga amanah walaupun nampak kecil.
Selepas kita praktik perkara kecil tadi, kita boleh mula buat tindakan yang sederhana. Tindakan ini akan kukuhkan lagi kepercayaan orang terhadap kita.
Tahap Sederhana (Pengukuhan Kepercayaan)
- Bila orang minta pendapat, jawab dengan jujur tapi lembut. Kita tak perlu menyakitkan hati orang lain.
- Bantu orang bila mereka perlukan bantuan, walaupun mereka tak minta. Jangan harap balasan.
- Kalau kita buat silap, akui saja dengan rendah diri. Tak perlu beri alasan pelik-pelik.
- Kalau kita tahu sesuatu, ajarkan pada orang lain. Ilmu yang kita beri akan buat orang lebih percaya.
- Tanya khabar orang lain dengan ikhlas. Bukan semata-mata untuk cukup syarat atau formaliti.
Tahap Besar (Memperkukuh Kepercayaan)
Selepas kita buat tindakan sederhana, kita mula masuk ke tahap besar. Tahap ini akan buat orang nampak kita benar-benar boleh diharap. Contohnya;
- Bila orang dalam kesusahan, tawarkan bantuan sebelum mereka minta. Tindakan ini menunjukkan kita peka dan mengambil berat.
- Kalau kita berjanji sesuatu, walau dalam keadaan sukar, kita tetap tunaikan. Orang akan mula percaya kita bukan sekadar cakap kosong.
- Bila ada orang beri maklum balas, dengar dengan terbuka. Jangan terus pertahankan diri, sebaliknya belajar dari maklum balas itu.
- Cerita pada orang tentang kesilapan kita, dan apa kita belajar daripadanya. Mereka akan nampak kita ikhlas dan bukan sempurna.
- Bila kita buat salah dan mengaku, orang akan hormat kita. Kita juga perlu jadi contoh, bukan sekadar beri nasihat.
- Kalau kita suruh orang jujur, kita pun mesti jujur dulu.
- Kalau kita nasihat orang untuk datang awal, kita juga mesti datang awal. Perbuatan kita lebih kuat dari seribu kata-kata.
Kalau tahap besar boleh menawan kepercayaan orang, tahap sangat besar boleh menjadikan kita tempat bergantung seumur hidup.
Tahap Sangat Besar (Memperkuat Kepercayaan Jangka Panjang)
- Bila kawan ada masalah besar, jadi orang pertama yang dia cari. Itu tanda kita sudah ada tempat dalam hidupnya.
- Berdiri bersama orang yang kita percaya, walaupun situasi sangat mencabar. Kesetiaan seperti ini susah dicari hari ini.
- Bila orang hilang keyakinan diri, bantu mereka percaya semula. Kita boleh beri nasihat yang membina semangat. Tunjuk bahawa kita percaya mereka ada potensi besar.
- Kalau kita ada prinsip, kekalkan walau diuji keadaan. Orang akan hormat orang yang tetap dengan nilai hidupnya.
- Bantu orang lain capai kejayaan, bukan hanya kejayaan kita sendiri. Kalau kita bantu mereka naik, mereka juga akan naikkan kita. Hubungan yang kuat terbina daripada sokongan dua hala.
Selepas semua tindakan ini dilakukan, kepercayaan bukan saja terbina, tetapi akan tumbuh seperti pokok yang kuat.
Bagaimana melakukannya secara Konsisten?
Sekarang, anda telah tahu apa yang perlu dilakukan. Dan telah menyusun mengikut tahap kesukaran. Seterusnya ialah bagaimana melakukannya secara konsisten. Bayangkan satu hari kau diberi sebidang tanah yang subur, luas dan penuh potensi. Kau bawa benih-benih terbaik, mungkin benih itu ialah;
- Impian nak bina bisnes.
- Hasrat nak jadi fit.
- Cita-cita nak bantu orang lain.
Dengan semangat membara, kau tanam semua sekali.
- Hari pertama, semangat kau macam api.
- Hari kedua, kau siram separuh hati.
- Hari ketiga… kau lupa.
- Hari keempat… malas.
- Minggu kedua, kau dah tanam benih baru pula.
- Lama-lama… semua jadi kebun tandus. Kenapa?
Sebab kau suka tanam, tapi tak suka siram. Memulakan satu usaha, impian, projek atau kerjaya itu macam tanam kepercayaan kecil. Tapi kalau tak disiram hari-hari, macam mana nak tumbuh jadi pokok kepercayaan yang besar? Ramai orang fikir: “Tak nampak hasil… mungkin projek ni tak sesuai.” Lalu dia tukar lagi, tanam benih lain. Salah siapa? Benih tu ke? Atau orang yang tanam, tapi tak sabar menunggu?
Jadi cara untuk melakukanya secara konsisten ialah Pilih satu atau dua yang paling penting atau paling mudah. Jangan tanam terlalu banyak benih. Dan fokus nyiram tiap hari. Tak perlu spektakular. Yang penting, konsisten. Ingat ini baik-baik: Tiada pertanian di dunia yang tanam hari ini, menuai pun hari ini juga. Kalau nak tuai hasil besar, kena rela tunggu, sabar menyiram, dan percaya pada proses.
Kesimpulan
Kepercayaan itu seperti menanam pokok. Kita kena siram dengan tindakan yang konsisten. Kalau kita malas jaga, pokok itu akan mati. Begitu juga kepercayaan, ia boleh hilang bila kita abaikan. Saya pernah alami satu detik kecil yang ubah hubungan dengan pelanggan. Saya hanya ikut apa yang dia minta, dengan penuh perhatian. Tindak balas dia sangat positif, hubungan kami jadi lebih baik. Dari situ saya sedar, benda kecil mampu beri kesan besar.
Sejak itu, saya kumpul semua tindakan yang boleh bina kepercayaan. Saya ulang-ulang sehingga jadi kebiasaan. Saya percaya, kalau kita ulang satu perkara baik berkali-kali, hasilnya luar biasa. Seperti minda Bruce Lee yang percaya pada pengulangan super.
“I fear not the man who has practised 10,000 kicks once, but I fear the man who has practised one kick 10,000 times.”
Mulakan dengan satu langkah. Ulang langkah itu sampai ia sebati dengan diri. Lama-lama, orang akan rasa selesa, percaya, dan hormat kepada anda. Dan waktu itu, anda sudah pun jadi seorang yang dipercayai.