Tahu dan lakukan adalah perkataan yang saya terfikir ketika saya dalam keadaan tidak bersemangat. Namun, pada hari ini saya bukan saja ingin tahu malah ingin melakukan banyak perkara demi untuk mencapai matlamat hidup yang saya inginkan. Demi untuk mencapainya, ada masanya saya tidak berfikir panjang lagi untuk menyenaraikan apa saja cara yang baik dan stabil untuk menjadikan impian saya jadi kenyataan. Sebelum ini, saya telah menyenaraikan semua aktiviti yang saya lakukan setiap hari, minggu, bulan dan tahun. Pada mulanya, saya seronok melakukan aktiviti yang ada dalam senarai ini. Namun sekarang, saya dapati diri saya mulai kehilangan semangat seperti pada mulanya. Saya sedih dengan diri saya kerana kehilangan semangat ini. Saya mulai berfikir, kenapa ini berlaku? Kenapa saya tahu tapi saya tidak lakukan?
1. Tahu dan Lakukan
Siapa yang tidak tahu apa yang dia inginkan? dan Apa yang perlu dilakukan? Sebagai seorang yang bakal menjadi ketua keluarga, saya perlu melakukan apa yang saya katakan untuk memberikan contoh yang hidup. Saya katakan pada diri saya, “Ada perkara yang manusia hanya perlu tahu, dan ada yang perlu dilakukan”. Tahu dan Lakukan adalah 2 perkara yang berbeza. Tahu adalah maklum akan keadaan sebenarnya. Manakala, lakukan adalah tindakan mengubah keadaan sesuatu benda. Terdapat juga beza antara tahu dan lakukan dari segi masa. Contohnya, jika sesuatu perkara itu mendesak kita perlu meLAKUKAN sesuatu, jika tidak mendesak usahakan untuk TAHU sahaja. Senang bukan?
2. Tahu Selok-Belok Matlamat
Mungkin anda tertanya-tanya, apa yang mesti kita tahu sebelum bertindak mencapai matlamat atau tujuan kita? Perkara yang perlu kita ketahui ialah selok-belok bagaimana kita mencapai matlamat kita dengan stabil dan baik. Ini supaya kita dapat melepasi cabaran-cabaran wajib. Selain itu, kita juga perlu mengetahui perkara ini supaya kita dapat selarikan fokus dan niat kita ketika berusaha. Mungkin dengan mengetahui apa yang kita mahukan, kita dapat membayangkan matlamat kita dalam minda kita. Pengetahuan yang akhirnya menghasilkan imaginasi atau bayangan akan mengukuhkan momentum kita dalam ketika berusaha. Langkah ini memainkan peranan yang penting dalam usaha anda mengejar impian menjadi blogger yang berjaya.
3. Kurangkan Berfikir Lebihkan Tindakan
Saya tahu apa yang saya inginkan dan Saya juga tahu apa yang perlu saya lakukan untuk mencapai impian saya. Namun, semangat yang hilang menyebabkan saya tidak sanggup berkerja keras. Perlu rakan-rakan ketahui penyebab saya hilang semangat ialah saya banyak berfikir berbanding melakukan. Saya sepatutnya kurang berfikir dan lebihkan tindakan. Berikan tumpuan lebih pada perkara yang sedang dilakukan berbanding pada perkara yang cukup untuk diketahui sahaja. Ini kerana, hidup hanya berubah berdasarkan apa yang kita lakukan, dan bukan sebab apa yang kita ketahui. Ingat! Masa dan tenaga kita sangat terhad, jadi, buatlah pilihan yang bijak selagi kita masih bertenaga dan bersemangat.
4. Tahu dan lakukan setelah Faham
Belajar dengan melakukan akan lebih cepat mengubah hidup berbanding belajar untuk tahu sahaja. Ramai orang berjaya bukan sahaja tahu apa yang perlu dilakukan tetapi mereka terus buat apa yang perlu dilakukan. Mereka ini bertindak selepas mereka tahu dan faham. Bukan seperti kebanyakkan kita yang hanya tahu dan berfikir sahaja. Hinggakan kita mula berfikir tentang pandangan orang lain. Meragui pilihan kita, berfikir apakah betul apa yang dilakukan ini, berfikir jika gagal dan macam-macam lagi. Terlalu banyak berfikir, akhirnya tiada apa-apa yang berubah. Jika mahu mengubah hidup, Belajarlah dengan melakukan supaya pengalaman asli meresap dan dirasai sendiri dalam hati dan fikiran kita.
5. Cari Tahu dan Lakukan dengan Prespektif Baru
Pernahkah anda merasa tiada semangat sebelum ini? Lebih-lebih lagi bila kita tahu ada yang perlu dilakukan tapi kita tiada semangat untuk melakukan tugasan tersebut? Inilah yang saya lakukan untuk mengharungi situasi ini, iaitu saya akan membaca buku yang membantu saya melihat perspektif yang baru dalam matlamat saya. Contohnya jika matlamat anda ialah mencapai Financial Freedom, maka bacalah buku Rich Dad’s Cashflow Quadrant. Saya mendapati diri saya hanya akan bersemangat untuk melakukan tugasan setelah mempunyai perspektif yang baru dalam sesuatu perkara tersebut. Bila semangat itu muncul, Saya cepat-cepatlah lakukan apa yang perlu untuk mendekati matlamat saya sebelum semangat itu meninggalkan saya.
6. Melawat Hasil Kerja Orang Lain
Jika kita malas melawat hasil kerja orang lain, jangan harap kerja kita akan dilawat orang lain. Ada masanya kita perlu luangkan masa melawat orang lain untuk memotivasikan mereka terus berkarya. Anggaplah ini seperti melawat keluarga anda sendiri. Bukan itu saja, kita mungkin saja akan mendapat inspirasi dari mereka semasa dalam sesi lawatan tersebut. Kita boleh bertanya kepada mereka, apa yang memotivasikan mereka terus maju dalam kerja yang mereka lakukan? Mungkin kita boleh dapat motivasi dari apa yang memotivasikan dia, sebagai contoh Adam Ardisasmita yang bermotivasi menjadi blogger kerana dia yakin yang negaranya Indonesia memerlukan lebih ramai programmer dan game developer.
7. Fikir Senang untuk Tahu dan Lakukan
Bukan mudah untuk sesebuah blog popular itu berada di kedudukan seperti sekarang. Bloggernya perlu melakukan banyak kajian, percubaan dan daya tumpuan untuk mencapai kedudukan sekarang. Sebelum ini, mungkin bloggernya hanya mampu menulis 100 patah perkataan. Namun kerana usaha yang berterusan, ia mengumpulkan sejumlah pengalaman yang membuatnya mulai melihat bahwa jalan yang dipilihnya itu akan membuahkan hasil. Jika anda ingin mengalami keadaan seperti ini, pertama sekali kita kena fikir “senang untuk jadi senang”. Kenapa? Berfikir itu tidak susah, yang susahnya ialah ketika kita berusaha melakukan tugas-tugas untuk mencapai matlamat kita. Berusahalah dengan fikiran yang positif, kerana fikiran negatif membebankan hidup anda.
8. Menulis Jurnal Produktiviti
Jurnal Produktiviti adalah saya khususkan untuk menulis aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang dilakukan atau alami semasa saya mengembangkan blog saya. Buku ini akan menjadi rujukan saya dalam menyediakan konten yang lebih baik pada masa depan. Apapun yang saya lakukan untuk blog saya, atau apapun yang saya rasakan semasa mengembangkan blog, saya akan tulis dalam buku ini supaya saya boleh rujuk pada masa depan. Saya yakin buku ini akan menjadikan saya semakin tahu apa yang saya lakukan. Semakin tebal jurnal yang saya tulis, maka semakin banyaklah yang saya tahu mengenai apa yang saya lakukan. Tindakan inilah yang membentuk saya pada hari ini.
9. Tahu dan Lakukan dengan Konsisten
Saya yakin konsisten adalah kunci yang utama untuk berjaya sebagai seorang blogger. Konsisten itu adalah keadaan seperti ini. “Sebelum ini saya suka menulis tentang blogger, hari ini pun saya masih suka menulis tentang blogger.” dan “Sebelum ini saya melakukan 10 perkara sebelum menerbitkan artikel, sekarang saya masih lagi melakukan 10 perkara ini sebelum menerbitkan artikel”. Itulah konsisten. Mungkin anda tertanya-tanya, konsisten saja tidak cukup. Memang betul, dan saya ingin anda tahu cara saya menggunakan perkataan konsisten ini. Bila anda yakin yang konsisten adalah kunci kejayaan, sekarang tambahkan ciri-ciri dalam konsisten anda. Contohnya Konsisten mengamalkan SEO dan konsisten menulis topik popular.
Kesimpulan
Inilah perkara yang anda perlu tahu dan lakukan untuk mencapai prestasi yang luar biasa sebagai blogger. Tips ini adalah antara penyebab yang membuat saya terus maju untuk menjadi blogger Malaysia no.1 di Google. Jadi saya simpulkannya dalam satu ayat panjang. Jika anda ingin menjadi blogger yang berjaya, anda kena tahu dan lakukan apa yang anda faham, dan bila hilang semangat carilah prespektif yang baru dengan cara melawat hasil kerja orang lain sehingga kita mampu berfikir senang untuk jadi senang, dan berusahalah secara konsisten kerana itulah kunci utama kejayaan. Semoga artikel ini memberi inspirasi kepada anda untuk terus maju mencapai matlamat sebagai blogger yang berjaya dalam niche pilihan anda.