Hello rakan-rakan pembaca yang saya hormati. Terima kasih kerana datang dan membaca artikel di blog saya yang tidak seberapa ini. Dipenghujung bulan ini, saya mengongsikan kepada kamu pengalaman dan pelajaran yang saya perolehi sepanjang bulan ini. Saya harap kamu dapat manfaat dari perkongsian saya pada bulan ini. Selamat membaca.
Happy Birthday to Me
1. Hati Kosong
Hari ini hari lahir saya, tapi saya bangun dengan hati kosong. Saya bangun dan berdoa memohon kepada Tuhan agar memberikan saya kesungguhan untuk hidup. Saya berkata dalam hati saya, apa kata “pada umur saya sekarang (30 tahun) meletakkan Tuhan yang pertama dalam setiap hari kehidupan saya. Itulah salah satu perkara yang saya akan kembangkan pada umur ini.
2. Mati itu pasti
Saya kasih ingat diri saya, “Mati itu pasti, sebab itulah kau sentiasa bersedia. Hiduplah seakan-akan ini hari terakhir kau hidup di dunia ini. Tinggalkan lebih banyak kenangan positif berbanding negatif kepada keluarga dan rakan-rakan kau. Hiduplah dalam keadaan berjaga-jaga.”
3. Belajar dari Kesilapan orang lain
Jika kau mahu berjaya, belajarlah dari kesilapan orang lain. Belajarlah dari kesilapan bukan kerana kau dapat mengelak dari melakukan kesilapan. Tapi kau tahu cara menangani atau cara menghadapi kesilapan ini bila berlaku dalam hidup kau.
4. Perkara yang tidak kelihatan adalah kekal
Saya tidak terlalu memperhatikan perkara yang kelihatan, melainkan perkara yang tak kelihatan, kerana yang kelihatan adalah sementara, sedangkan yang tak kelihatan adalah kekal.
5. Perkhidmatan yang baik
Perkhidmatan yang baik adalah bila kita dapat menunaikan janji kita kepada pelanggan-pelanggan kita. Disamping itu, kita juga perlu menyedari bahwa dengan memberikan apa yang mereka perlukan, kita dapat mempermudahkan kehidupan mereka.
6. Carilah perkara terbaik ada dalam diri kita
Saya fikir orang berfikiran positif itu adalah orang yang menerima kekurangan diri sendiri namun masih yakin dengan kelebihan yang ada pada dirinya sendiri.
7. Tidak Tahu
Ada masanya mengaku “tidak tahu” merupakan pengakuan yang rendah diri. Ada masanya mengaku “tidak tahu” menandakan kita tidak mahu berusaha untuk ambil tahu tentang sesuatu. Tapi apapun itu, perkataan “Tidak Tahu” ini boleh dijadikan penanda aras untuk kita belajar sesuatu hari ini.
8. Buat Perkara Berkualiti
Saya perlu konsisten membuat perkara yang berkualiti. Saya tidak mahu main-main lagi. Kalau saya main pun, saya mesti buat yang terbaik juga. Saya akan bertumbuh lebih baik hari ini.
9. Bekerja dengan apa yang kita ada
Tuhan mahu kita bekerja dengan apa yang kita ada termasuklah dengan kelemahan kita supaya kita sentiasa berharap pada-Nya.
10. Sedih dengan kebodohan yang lalu
Saya rasa sedih bila terkenang kebodohan masa lalu yang saya lakukan. Saya pasti berada ditempat lain kalau saya sentiasa buat yang terbaik sejak muda-muda dulu.
11. Plan Flow Preparation
Plan Flow Preparation ini adalah 3 proses kerja yang sumandak saya kongsikan pada saya yang sedikit sebanyak memperbaiki cara saya bekerja pada masa depan. Saya rasa seronok bekerja atau melakukan sesuatu mengikut susunan proses ini sebab ia membantu saya mengelak dari bekerja dengan otak yang kosong.
12. Mengumpul yang baik daripada yang buruk
Daripada mengumpul keburukan, kesilapan dan kerugian. Lebih baik mengumpul keindahan, kepandaian dan keuntungan. Hidup akan lebih terarah kepada yang terbaik.
13. Tetap bertenang Esok masih ada
Bila kau buat silap, tetap bertenang. Mulakan semula dari esok. Tapi kali ini kau mesti fokus sehingga mencapai matlamat kau. Jangan hilang tumpuan sehingga kau mencapai matlamat kau.
14. Peraturan peribadi
Saya fikir peraturan peribadi perlu untuk mengelakkan kita dari kerugian. Peraturan peribadi tidak menampakkan kita seorang yang lemah. Malah itu menampakkan kita seorang yang rendah diri kerana kita masih terfikir bahawa akan ada masanya keadaan menjadi tidak betul. Memang peraturan peribadi tidak dapat memastikan kita untung 100%, tapi ia dapat membantu kita mengurangkan risiko kerugian yang besar.
15. Kenapa konten tidak mendapat sambutan?
Hari ini saya dapat jawapan untuk persoalan kenapa konten saya tidak mendapat sambutan? Jawapannya ialah
- Orang masih belum tahu apa yang saya buat. Memang mengambil masa yang lama untuk membuat orang mengetahui konten kita, sebab mereka pun sibuk dengan urusan masing-masing. Jika kita terus berkarya, past ada satu masa terluang untuk mereka mengambil tahu apa yang kita buat. Mungkin masa itu barulah mereka tahu apa yang kita buat.
- Saya masih belum buat yang terbaik. Kita mahukan manfaat yang ada di level 100, sedangkan usaha kita baru setaraf dengan orang di level 10. Tentulah tidak adil bagi orang yang sudah banyak berusaha. Jika kita mahukan yang terbaik, berusahalah dengan cara yang terbaik. Contohnya, jika kita mahu 100, berusahalah 110.
16. Berhenti bila Berhenti
Hidup kita akan terhenti, bila kita berhenti. Semua perkara yang kita lalui setiap hari adalah sebahagian dari hidup kita sama ada kita suka atau tidak. Contohnya, Keadaan bilik akan menjadi semak bila kita berhenti mengemas. Emosi menjadi tidak stabil bila kita berhenti dari mengikut peraturan yang ada. Orang akan mula meninggalkan kita bila kita berhenti buat baik pada mereka. Sama juga dengan blogging, orang akan berhenti datang bila saya berhenti menulis. Oleh itu, Jangan berhenti, belajarlah mencari rentak hidup yang efisien untuk kita memberi yang terbaik pada keluarga dan rakan-rakan yang ada disekililing kita.
17. Konsisten kunci kejayaan
Konsisten ialah kunci kejayaan. Bagaimana? Dengan melakukan perkara yang tepat setiap hari. Dengan melakukan kebaikan setiap hari. Dengan belajar setiap hari. Dengan memperbaiki diri setiap hari (bila ada kesilapan). Dengan melakukan lebih banyak perkara positif setiap hari. Hasilnya bila kita dapat melakukan semua perkara ini, kita akan melihat bagaimana hidup kita menerima semakin banyak manfaat berganda. Tapi, siapa saya untuk menulis semua ini akan ditentukan oleh apa yang saya lakukan pada hari-hari yang akan datang.
18. Kalau Youtuber boleh Blogger pun boleh
Kalau Youtuber buat video dan dapat menjana pendapatan dari Google. Saya yakin Blogger pun boleh menulis artikel dan menjana pendapatan dari Google. Sebab saya tahu yang setiap penonton itu berbeza, ada yang suka membaca, ada yang suka menonton video saja dan ada juga yang tidak suka tapi diorang baca kerana diorang mahu menyokong kita.
19. Perkara yang kekal adalah diri kita
Duit kita boleh hilang, kawan-kawan kita boleh pergi, tapi satu yang kekal ialah Diri kita. Saya katakan begini kerana hanya kita yang dapat kawal diri kita.
20. Tabiat untuk sentiasa menang
Salah satu tabiat supaya kita sentiasa menang ialah Jangan cepat lupa diri. Kita mungkin belum berjaya kerana kita cepat lupa diri. Kita masih membuat kesilapan yang sama iaitu tidak mahu belajar perkara baru dari kejayaan dan kesilapan kita. Sebabnya begini, bila kita tidak lupa siapa kita, kita tahu mana yang patut dinaik taraf.
21. Hati dan Fikiran yang bersih
Setiap keputusan yang kita buat boleh menjauhkan atau mendekatkan kita kepada tujuan hidup kita. Kalau hati dan fikiran kita bersih, kita dapat membuat keputusan yang lebih baik berbanding ketika hati dan fikiran kita dalam keadaan negatif. Kenapa? Sebab umumnya adalah fikiran negatif itu menghasilkan perasaan Cemburu, Kemarahan, Ketamakan, Takut, Kebencian, Dendam dan Khurafat. Semua perasaan-perasaan inilah yang menyebabkan saya gagal dulu. Oleh itu, mintalah hati dan fikiran yang bersih.
22. Tanda Ikhlas
Saya pernah bantu orang, tapi saya lupa siapa yang saya bantu itu. Saya pernah bagi duit pada orang, tapi saya lupa nama orang itu. Saya pernah sokong orang, dan saya lupa berapa kali saya sokong. Adakah ini semua menandakan saya ikhlas? Persoalan ini membuat saya berfikir lebih lagi. Dan di akhir hari ini, saya membuat kesimpulan, kita hanya ikhlas apabila kita tetap melakukan sesuatu walaupun kita tidak dapat apa yang kita mahu.
23. Belajar tentang diri sendiri
Siapa kita? Orang lain akan melabel kita mengikut apa yang mereka lihat pada kita. Bagi orang yang masih tidak mengenal diri sendiri, mereka cenderung untuk mengikut pandangan orang lain. Saya tahu perkara ini kerana ini jugat berlaku pada diri saya sendiri. Jadi, apa yang saya lakukan untuk mengelak dari terlalu mengikut pandangan orang lain ialah mempelajari tentang diri sendiri. Bagaimana? Bagi saya cara untuk saya belajar mengenal diri ialah dengan menulis jurnal atau blog seperti ini. Harap membantu.
24. Keuntungan atas keuntungan
Bila kita simpan duit kita di bank, duit kita itu akan berbunga (untung dalam bentuk dividen). Jika kita tidak mengusik bunga itu, maka bunga itu akan menghasilkan bunga yang lain pada tahun seterusnya. Dalam hidup, kita masing-masing mempunyai kelebihan, jika kita menjaga kelebihan kita, maka kelebihan lain akan muncul dari kelebihan yang kita ada. Sebagai contoh Manny Pacquiao seorang petinju, kini dia adalah seorang pemimpin. Dapat pahamkan?
25. Rasa sakit tidak akan mengubah
Saya fikir perkara yang menyakitkan saya tidak akan mampu mengubah saya kerana saya masih lagi melakukan kesilapan yang sama. Ini adalah masalah kecil yang sedikit demi sedikit mempengaruhi hidup saya. Saya kena ubah mentaliti saya ini. Jika sebelum ini saya sering kali melakukan kesilapan yang sama, sekarang saya akan ubahnya menjadi seringkali melakukan perkara yang betul. Saya fikir macam ini barulah hidup saya akan berubah.
26. Sambungkan Titik
Bila saya membaca kembali keadaan saya pada 1 september, saya tergerak untuk menerangkan lebih dalam mengenai masalah merasa kosong dalam hati. Salah satu idea untuk membuatkan hidup kita terasa lebih bermakna ialah sambungkan titik-titik ini.
- Apa yang anda percaya?
- Apa yang anda buat?
- Siapa anda?
27. Mulakan dengan menanyakan soalan
Pada hari ini, sekitar 8:30 pagi, saya merasa tiada peningkatan yang saya lakukan pada hidup saya. Perasaan ini membuat saya rasa tidak berdaya untuk maju. Tapi saya tekan diri untuk jawab soalan mudah ini; Adakah saya meningkat hari ini? Fikiran saya menjawab YA, dan saya pun berusahalah sehingga jawaban YA itu jadi nyata.
28. Berjaya kerana Setia
Bila saya tengok rumah jiran-jiran cina yang banyak tumbuhan hijau diluar rumah mereka, ia membuat saya bertanya pada diri saya, kenapa hidup mereka ini semakin hari semakin senang?. Kemudian saya sendiri juga jawab soalan saya. Dan ini jawaban saya “Sebab mereka setia dengan apa yang mereka percaya”. Jadi saya katakan pada diri saya, jika saya mahu senang, saya pun kena setia dengan apa yang saya percaya.
29. Kenapa perlu kenal diri sendiri?
Saya perlu kenal diri sendiri supaya saya sedar apa kekuatan dan kelemahan saya. Dan bila saya tahu kekuatan dan kelemahan saya, ini akan memudahkan saya menentukan apa yang dapat dan tidak dapat diubah. Selain itu, mengenal diri sendiri juga dapat mengurangkan tekanan emosi disebabkan perkara-perkara yang baru dalam hidup kita. Sebab terakhir yang paling penting sekali ialah menyedarkan kita bahawa betapa kecilnya kita berbanding ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain, kerana dengan menyedari perkara ini, sepatutnya mendorong kita untuk sentiasa bergantung pada-Nya.
30. Berkembang dari Siapa kita sekarang
Saya berhenti menyalahkan masa lalu kerana ia hanya membuang waktu dan tenaga saya. Saya patut berkembang dari apa yang saya ada sekarang kerana saya menyedari bahawa menjadi lebih baik dari semalam membuat saya gembira, walaupun perkembangan itu kecil sahaja. Oleh itu, saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan pembaca semua supaya menerima diri kita seadaanya dan berkembanglah dalam aspek-aspek yang penting dalam diri dan hidup kita masing-masing.
Kesimpulan
Jangan lupa untuk tetap konsisten dengan usaha anda memperbaiki diri anda kerana tiada yang dapat mengubah diri anda selain diri anda sendiri. Bulan Oktober sedang menunggu di hadapan kita, bersedia untuk menjadikannya bulan yang lebih baik dari bulan ini. Selamat Maju Jaya.
Melawatlah ke website Nicola McDermott untuk belajar sesuatu yang berguna secara langsung dari Atlit lompat tinggi Australia ini.