Melupakan kekecewaan masa lalu dalam hubungan kekeluargaan tidak mudah kerana ia sudah menjadi sebahagian dalam hidup kita. Dan seperti yang kita tahu, pengalaman hidup yang memberi kesan besar pada perasaan kita memang sangat sukar untuk dilupakan. Namun, tidak mustahil untuk melupakan kekecewaan itu jika kita berusaha mencipta pengalaman manis secara konsisten setiap hari. Nah, sebenarnya ada banyak cara untuk mencipta pengalaman manis antaranya ialah
1. Memikirkannya sebagai sesuatu pembaziran masa
Kau tidak patut memberikan banyak masa kau untuk mengenang kekecewaan lalu kerana ia membazir masa. Kau hanya ada 24 jam dalam sehari, manfaatkan masa yang kau ada untuk membina masa depan yang lebih baik dari masa lalu kau.
2. Menyedari pengaruhinya pada pertimbangan kita
Perlu kau sedar, jika kekecewaan itu membuat kau emosional, berhati-hatilah kerana ia boleh mempengaruhi kau dalam membuat pilihan hidup. Ini kerana, kebanyakkan keputusan yang dibuat dalam keadaan emosional selalunya akan berakhir dengan kegagalan dan kau tidak akan dapat maju lebih baik dari sebelumnya.
3. Mewujudkan perasaan ingin jadi lebih baik
Kebanyakkan orang sekarang hidup di masa lalu. Mereka tidak sanggup membuat pilihan untuk berubah lebih baik kerana masih dihantui oleh masa lalu. Jika kau orang yang ingin berjaya dalam hidup, tindakan untuk mewujudkan sedikit perasaan seperti ini akan mempengaruhi kau untuk mengambil tindakan yang lebih baik dari rata-rata orang. @Cindy.with.u pernah mengatakan, “kalau kamu menyukai seekor kuda, jangan dikejar, kerana tidak mungkin terkejar, kamu seharusnya menanam bunga dan rumput, kerana ketika mekar, kuda itu pasti akan kembali mencarimu, kalau dia tidak kembali pun tidak apa, kerana saat itu kamu sudah mempunyai bunga dan padang rumput, sekalipun kuda itu kembali, pasti ada kuda lain yang datang.”
4. Memberi tumpuan pada peningkatan nombor
Ini kaedah yang saya gunakan untuk melupakan kekecewaan masa lalu. Apabila saya merasa sedih kerana terkenang kekecewaan masa lalu, saya kumpulkan kesedihan itu, dan gunakannya sebagai semangat untuk meningkatkan nombor tersebut. Contohnya, kelmarin saya jogging 10minit, hari ini saya terkenang kekecewaan masa lalu, saya akan kumpul kekecewaan itu dan ubah jadi semangat hingga saya dapat jogging 30minit tanpa henti. Kemudian, saya akan lihat perbezaan (20minit) tersebut. Dan perbezaan inilah yang membuat saya tidak lagi sedih kerana saya yakin saya boleh dapat yang lebih baik pada masa depan.
5. Menghargai setiap perkara yang dimiliki saat ini
Kau teringat kekecewaan masa lalu kerana hidup kau susah pada saat ini. Jika kau terus menerus melayan kekecewaan itu, jangan hairan hidup kau akan tetap sama pada masa depan. Satu perkara yang kau perlu sedar iaitu kekecewaan akan hilang apabila kau gembira. Oleh itu, hargai dan jadikanlah semua yang kau miliki sekarang sebagai permulaan untuk kau menjadi lebih baik dari sebelumnya.
6. Meluahkan perasaan dengan orang yang dipercayai
Bila kau mencurahkan perasaan kau pada orang lain, beban fikiran kau yang kusut akan berkurang. Selain itu, kau mungkin juga akan terajar untuk melihat kekecewaan itu dari perspektif yang berbeza. Ini sedikit sebanyak dapat membantu kau lari dari perasaan kecewa.
7. Meluahkan perasaan dengan menulis
Jika kau tidak menemui orang yang dipercayai, luahkan perasaan dengan cara menulis. Kesannya hampir sama dengan keadaan ketika kita meluah dengan orang lain. Cuma yang berbeza dengan menulis ialah kau boleh sepuas-puasnya luahkan tanpa kawalan kerana tiada orang yang akan mengetahui apa sebenarnya yang kau rasakan. Selain itu, ini juga membantu kau untuk kurang beremosi kerana kau perlu berfikir sebelum kau menulis supaya kau dapat menulis apa yang kau ingin tuliskan. Ini akan membantu kau untuk lebih rasional melepaskan kekecewaan di masa lalu.
8. Melakukan aktiviti yang menyeronokkan
Lakukanlah aktiviti sihat dan menyeronokkan supaya kau dapat melupakan kekecewaan kau walaupun sekejap saja dalam sehari. Disini saya ingin tekankan peribahasa “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Yang mana, kenangan ketika kau melakukan aktiviti yang menyeronokkan (walaupun sedikit), lama-lama akan mengantikan kekecewaan yang membuat kau sedih dalam hidup.
9. Menguatkan diri untuk bersabar
Saya akui kesan bersabar tidak banyak mengurangkan rasa sakit kerana kecewa. Tapi, kau perlu tahu, dengan bersabar, kau ada banyak masa untuk berfikir dan memahami kenapa keadaan tidak berlaku seperti apa yang kau inginkan.
10. Belajar untuk ikhlas dan memaafkan
Tidak dapat dinafikan pengetahuan dan sifat pemaaf kau dapat membantu kau melupakan kekecewaan masa lalu. Dengan adanya pengetahuan, kau akan paham kenapa orang yang kau sayangi tidak memilih apa yang kau pilih. Ini akan mengurangkan rasa sakit yang kau alami pada masa ini. Apalagi kalau kau rela hati untuk memaafkan punca kekecewaan itu.
11. Memahami sifat semula jadi manusia
Manusia memang tidak pernah luput dari kesilapan. Sekiranya kau memahami idea ini, kau akan cepat memahami kalau orang yang kau sayangi melakukan kesilapan. Hidup kena adil, jika kau mahu orang lain jadi lebih baik, kau pun kena jadi lebih baik. Jika orang lain melakukan kesilapan, itu bukan silap orang itu, kau yang silap kerana berada dengan orang itu. Jika kau fikir kau lebih baik, kau sepatutnya berada dalam kalangan orang yang lebih baik. Kita dapat pilih dengan siapa kita bergaul.
12. Menyedari manusia sukar dipahami
Kau tidak akan pernah memahami sepenuhnya hati orang lain kerana perbezaan penerimaan dan keinginan. Jika kau kecewa kerana perpisahan 2 insan yang kau sayangi, keluarlah dari kekecewaan itu kerana kau tidak tahu apa yang terjadi dalam diri mereka. Namun, secara umumnya perpisahan mereka adalah disebabkan mereka tidak lagi dapat hidup dalam perbezaan itu. Saya fikir jika kau berada ditempat (kelemahan dan kekuatan) mereka, kau juga akan melakukan perkara yang sama.
13. Membaca buku mengenai Kekecewaan
Jika sebelum ini kau belum pernah membaca buku tentang kecewa. Cari dan bacalah sekurang-kurangnya 1 buku. Setelah kau mencapai matlamat ini, kau perlu sedar dan yakin kau telah menjadi 1% lebih baik dari tahun sebelumnya. Selain itu, persepsi kau mengenai kekecewaan juga akan berkembang dan kesedihan kau juga akan berkurangan.
14. Mengingati Kemenangan
Mengingati kemenangan masa lalu lebih baik daripada mengingati kekecewaan masa lalu. Ini termasuklah kemenangan-kemenangan kecil yang kau sedari dalam seumur hidup kau. Ini kerana, mengingati kemenangan bukan saja akan membuat kau bangga dengan diri kau, malah akan memberikan kau semangat untuk memenangi pergolakkan yang ada dalam diri kau. Ingat, kau pernah menang sebelum ini, jadi kali ini pun kau mesti menang.
15. Mengingati Pencapaian
Mengingati pencapaian juga membuat kita lupa akan kekecewaan masa lalu. Selain itu, ia membuat kita bangga dengan diri kita sehingga kita yakin untuk melepaskan kekecewaan tersebut dan mula fokus untuk mencapai matlamat seterusnya.
16. Mengingati Masalah-masalah yang diselesaikan
Jika kau tidak mempunyai pencapaian yang tidak membanggakan, ingat masalah-masalah kecil yang pernah kau selesaikan. Ini akan membuat kau berfikir bahawa kau pasti boleh merungkai kekusutan yang disebabkan oleh kekecewaan masa lalu.
17. Jangan benarkan masa lalu mengawal kau
Sebab kita semakin hari semakin tua. Dan, jika kita tidak berusaha pada masa muda, kita akan hidup susah pada waktu tua nanti. Kawal emosi dan fikiran, dan mulalah membuat pilihan untuk maju lebih baik.
18. Bersedia untuk sesuatu yang tidak pasti
Hidup ini penuh dengan ketidakpastian, apalagi kalau sampai sekarang pun kau masih tidak pasti dengan apa yang kau inginkan. Oleh itu, abaikan dahulu hal-hal yang mengecewakan kau. Berikan tumpuan pada aspek-aspek yang kau lemah supaya pada masa yang mencabar nanti kau boleh mengharungi cabaran itu dengan baik.
19. Percaya Tuhan Menyediakan yang lebih baik
Apabila kau teringat kekecewaan masa lalu, fikirkan yang Tuhan telah menyediakan sesuatu yang lebih baik sedang menunggu kau di hadapan. Jika kau melihat atau terfikir perkara-perkara yang baik berlaku dalam hidup kau pada masa itu, cari tahu lebih banyak maklumat tentang perkara itu dan lihat peluang-peluang yang boleh menjadikan kau lebih gembira pada masa depan. Kau boleh lakukan ini dengan memilih satu perkataan yang paling kau sukai dan belajarlah semua perkara yang berkaitan dengan perkataan tersebut.
20. Menerima hakikat yang kau telah pun kecewa
Salah satu cara untuk hidup gembira ialah menerima hakikat bahawa kau telah pun kecewa. Penerimaan ini sedikit sebanyak dapat membebaskan perasaan kecewa yang terpendam dalam hati kau selama ini, hinggakan kau akan merasa ringan dalam menjalani hidup kau sekarang.
21. Berusaha fokus bila buat kerja
Fokus membantu kau menikmati keadaan semasa kau. Bila kau fokus, fikiran kau hanya tertumpu pada apa yang kau sedang lakukan. Bila kau tiada fokus pula, fikiran kau mula bergerak bebas yang mungkin berakhir dengan fikiran yang mengingatkan kau pada kekecewaan-kekecewaan masa lalu.
22. Menghindari Perangkap Ingatan
Mengingat cerita yang bahagia membuat kita senang. Namun, kadang-kadang dari banyak-banyak ingatan yang muncul dalam fikiran kita, ada satu atau dua yang memerangkap kita yang menyedihkan kita di masa lampau. Kemudian, kesedihan itu kita bawa ke dalam kehidupan kita sekarang. Misalnya, perangkap ingatan tentang kegagalan membuat kita takut dan kurang optimis. Dan sebaliknya, perangkap ingatan tentang kejayaan menjadikan kita orang yang mudah meremehkan sesuatu dan sombong. Tidak salah mengingat masa lalu, tetapi perangkap ingatan itulah yang mesti kita hindari.
23. Jangan Jadi Bodoh
Kalau kau mendesak ingin mengubah sesuatu yang mustahil dan yang sukar untuk diubah, itu namanya kebodohan. Bodoh. Sangat Bodoh. Ada masanya kau harus berani melepaskan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Kau harus berani melepaskan masa lalu kau, berani untuk melepaskan segala kepahitan, segala duka dan segala cerita. Bukan kerana hal itu tidak penting, tapi kerana masa depan kau dan hidup kau jauh lebih penting. Biarlah yang lalu, berlalu. Kerana yang lebih indah, sedang menunggu kau datang.
24. Tingkatkan kemampuan belajar
Jika kau ingin maju di masa depan, tingkatkan kemampuan kau belajar. Lakukanlah segala sesuatu yang membuatkan kau lebih cepat belajar. Dan salah satu cara mudah untuk meningkatkan kemampuan kau belajar ialah dengan melupakan kekecewaan masa lalu. Ada kajian yang menyatakan, kejadian masa lalu seperti kecewa akibat kematian insan yang akrab dalam kehidupan boleh menyebabkan kita menghadapi masalah pembelajaran. – KAJIAN TERHADAP FAKTOR KEMURUNGAN.pdf
25. Mengubah persekitaran kita
Bila ada orang atau objek yang membuat kau teringat akan kekecewaan masa lalu, menjauhlah dari orang itu buat sementara. Tindakan ini bertujuan untuk mengurangkan perasaan kecewa dalam diri kau. Kemudian, letakkan diri kau dalam persekitaran yang membuat kau ingin menjadi lebih baik dari sebelumnya. Lakukan ini sehingga perasaan ingin menjadi lebih baik berkembang lebih besar dari perasaan kecewa akan masa lalu.
26. Fokus pada perkembangan kecil dan sederhana
Kau akan teringat kekecewaan masa lalu jika kau fokus pada perkembangan besar. Ini boleh berlaku bila kau gagal mencapai perkembangan besar yang kau ingin capai itu. Oleh itu, ada baiknya kalau kau fokus pada perkembangan kecil dan sederhana, kemudian bergembiralah dengan perkembangan itu.
27. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu adalah pilihan
Kau boleh saja memilih untuk tidak melupakan kekecewaan masa lalu, tapi jika dengan mengingatnya membuat kau rasa sakit dan hilang semangat, adalah lebih baik untuk kau melupakannya. Tapi, jika dengan mengingatnya membuat kau bersemangat berusaha untuk hidup lebih baik pada hari ini, teruskan dengan pilihan itu.
28. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu Mengambil Masa yang panjang
Sangat sedikit orang yang mampu melupakan kekecewaan dalam masa yang singkat, apa lagi kalau itu sangat melekat pada perasaan kita. Jadi, bila kau teringin melupakan kekecewaan masa lalu, ketahuilah yang kau perlu terima hakikat dan berusahalah secara konsisten. Kau tidak akan dapat melupakan perkara tersebut dalam satu malam. Ia mengambil masa 3-5 tahun, dan paling teruk lagi 10-15 tahun pun masih tidak dapat lupakannya. Hingga satu masa kau akan rasa bersyukur kerana kekecewaan itu berlaku dalam hidup kau.
29. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu adalah baik untuk kau
Saya pernah menyukai seorang gadis yang sebaya dengan saya pada waktu sekolah menengah dulu. Namun saya ditolak. walaupun begitu, saya masih lagi mengharap dalam rasa kecewa. Hingga satu masa, saya tahu dia telah pun berkahwin. Dan semenjak masuk umur 30 tahun ini, saya mulai melihat dan sedar sebab-sebab saya tidak sesuai dengan gadis ini. Dan kesedaran inilah yang membuat saya benar-benar melupakan kekecewaan pada waktu saya ditolak dulu.
30. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu adalah tanda Move On
Sebaik apapun masa lalu kau, ia telah terkunci rapat dan pergi meninggalkan kau. Begitu juga sebaliknya, seburuk apapun masa lalu kau, sesungguhnya saat ini kau adalah kanvas putih yang kosong. Teruslah Move on agar hidup kau lebih berwarna yang terisi penuh.
31. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu Membuat kau lebih optimis
Kau kecewa dengan dunia, tetapi tidak ada gunanya bagi kau kerana dunia akan berputar meskipun kau tidak bergerak. Oleh itu, daripada melayan kekecewaan, lebih baik terus bergerak walaupun kau kecewa kerana masa depan menjanjikan sesuatu yang lebih baik nanti.
32. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu lebih mudah dengan menerimanya
Cara terbaik untuk melupakan kekecewaan masa lalu adalah bukan dengan menghindari atau menyesalinya. Namun dengan menerima dan memaafkannya. Semakin kau berusaha melupakannya, semakin ia hadir dalam pikiran kau. Berhentilah melupakan, mulailah menerima kenyataan. Sudah sampai masanya kau berdamai dengan takdir demi kebaikan hati kau.
33. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan cara menulis cerita
Kau juga boleh melupakan kekecewaan masa lalu dengan cara menulis cerita yang bermula dengan kisah kau sendiri. Kemudian, akhiri cerita itu mengikut cita rasa kau. Biasanya dalam kebanyakkan cerita yang kita pernah dengar pasti berakhir dengan kegembiraan. Nah, dengan menulis cerita yang berakhir dengan kegembiraan, kau mampu memberikan pengalaman yang gembira pada diri hingga membuat kau tidak lagi banyak terkesan disebabkan kekecewaan masa lalu.
34. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan tinggal di negara lain
Ini cara yang paling besar saya pernah tahu dalam hidup saya. Bila kau tinggal di negara baru, kau akan melihat bentuk wajah yang berbeza dari orang-orang yang mengecewakan kau pada masa lalu. Saya fikir ini dapat membantu kau melupakan kekecewaan masa lalu kerana selain bentuk wajah dan alam sekitar, gaya hidup dan cuaca juga akan mengubah persepsi kau.
35. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan penuh tekad
Sebenarnya untuk melupakan kekecewaan masa lalu itu sangat mudah jika kita bertekad. Kau tidak perlu lakukan semua yang diatas ini jika kau sudah benar-benar bertekad untuk melupakan kekecewaan masa lalu. Ini kerana, tekad menyanggupkan seseorang untuk melakukan apa saja demi untuk mencapai matlamatnya. Tapi, tidak semua orang dapat mempunyai tekad yang tinggi setiap masa untuk melupakan kekecewaan masa lalu kerana manusia dan emosi adalah seperti isi dengan kuku. Kau tidak boleh hidup gembira tanpa emosi. Tapi, saya yakin, tekad masih lagi dapat membantu kau untuk melupakan kekecewaan masa lalu.
36. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan mengejar matlamat
Bila kau ghairah mengejar matlamat kau, fikiran dan perasaan kau akan tertumpu pada matlamat itu. Kau akan bersungguh-sungguh mengabaikan perasaan dan menumpukan fikiran kau pada usaha.
37. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan konsisten
Kau tidak berjaya melupakan kekecewaan masa lalu jika kau tidak konsisten menjaga fikiran dan perasaan kau. Seperti dalam semua kejayaan di dunia ini, konsisten memainkan peranan sebagai kunci kejayaan. Oleh itu, jika kau mahu melakukan ini, lakukanlah dengan konsisten. Dan pasti, satu hari nanti, kau akan berjaya.
38. Melupakan Kekecewaan Masa Lalu dengan berdoa
Sepatutnya inilah cara yang pertama yang kau boleh lakukan jika kau mahu lupakan kekecewaan masa lalu. Saya pernah mendengar pengalaman dari seseorang yang mana Tuhan telah membantu dia membuka rasa cinta, kemudian untuk beberapa waktu yang lain pula meminta Tuhan mengembalikan rasa cintanya kepada suaminya. Dan doanya itu terkabul. Oleh itu, berdoalah kepada Tuhan.
Kesimpulan
Ada 38 idea dalam artikel ini dan tidak semuanya perlu kau ambil untuk dihidupkan dalam hidup kau. Sangat memadai lah jika kau ambil idea yang kau rasakan mudah dan berkesan untuk melupakan kekecewaan masa lalu. Akhir sekali, jangan lupa letakkan elemen konsisten dalam usaha kau ini agar hidup kau terus maju dengan stabil.