Saya telah merenung ayat “Menjadi lebih baik dari semalam” sepanjang bulan November ini kerana saya mahu memahami bagaimana sebenarnya keadaan orang yang berusaha untuk menjadi lebih baik dari semalam. Sepanjang proses ini, saya telah menulis beberapa poin penting yang perlu diberi perhatian kerana saya dapat inspirasi ini sewaktu fikiran dan jiwa saya masih segar. Saya harap poin-poin ini dapat membantu kita menjadi lebih baik dari semalam.
1. Ketahui kemampuan diri
Uji diri kita, sejauh mana kita mampu berfikir dan kemudian berusaha untuk mengejar impian kita. Dengan ujian, kita akan mengetahui kelemahan dan kekuatan kita. Ukurlah kemampuan kita menggunakan nombor agar kita dapat mengatur strategi dan mencapai impian kita secara sistematik.
2. Fokus pada pelaksanaan rancangan
Apabila rancangan sudah dibuat, laksanakanlah dengan sebaiknya. Tidak kira berapa lama pun masa yang kita perlukan tetaplah berfokus pada pelaksanaan rancangan yang kita buat. Jika pelaksanaan terlalu sukar, cari buku, Individu atau bahagikannya kepada gol-gol kecil agar kita boleh maju sedikit lebih baik dari semalam.
3. Bergaul dengan individu yang membuat kita rasa positif
Kita kena terima hakikat yang kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan semua orang di bumi ini. Hindarkan diri orang-orang ini, bukan kerana mereka jahat, tapi kerana mereka membuat kita tidak yakin diri, dan merasa negatif. Perasaan negatif mendorong kita berfikiran negatif. Bergaullah dengan individu yang membuat kita rasa positif agar kita dapat berfikiran positif.
4. Orang hanya mahu melihat hasil
Masyarakat pada hari ini hanya akan tertarik pada apa yang kita lakukan setelah melihat hasil hebat yang kita capai. Jika kita terfikir untuk mengambil hati ramai orang dengan memperlihatkan usaha kita, saya cadangkan “berhentilah membuang masa kita dengan membawa minda seperti ini setiap hari dalam hidup kita”. Mereka tidak tertarik untuk melihat usaha yang kita lakukan sekarang atas sebab SIAPA KITA? Mereka hanya tertarik dengan apa yang kita lakukan setelah kita memperlihatkan HASIL kerja kita kepada mereka.
5. Berehat bila penat
Kita perlu berehat apabila penat supaya tumpuan dan kesungguhan kita sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Selalunya, bila kita paksa diri berkerja dalam keadaan penat, kita akan bertindak pasif, kurang tumpuan, kesungguhan, fikiran pula jadi sempit sehingga kerja yang dibuat tidak menarik yang akhirnya akan menyebabkan perkembangan yang kita harapkan gagal dicapai.
6. Keluar dan cari peluang
Banyak peluang yang diberikan untuk kita memperbaiki diri kita, cuma kita tidak nampak mungkin kerana persekitaran kita yang sentiasa sama. Apa yang kita lakukan ialah berjogging di kawasan tempat tinggal kita. Dalam masa berjogging tu, kita ringankan fikiran kita sambil berharap idea akan muncul. Jika kita bertuah, kita dapatlah 1-2 idea dalam sehari. Dan bagi saya, idea adalah peluang untuk menjadi lebih baik.
7. Jangan jatuh terlalu teruk
Kenapa saya jatuh? Sebab kita buka diri kita pada pencubaan. Hari ini, kita akui sangat sukar untuk mengelakkan diri dari jatuh dan gagal kerana kita hidup di dunia yang banyak perbezaan. Peringatan untuk kita pada hari ini, “Jangan jatuh terlalu teruk”. Lihat atau refleksi diri kita setiap hari dan berlatihlah untuk memperbaiki setiap kelemahan yang kita sedari supaya kita dapat menjadi lebih baik dari semalam.
8. Rekod dicatat untuk dipecahkan
Rekod membantu kita mengenal kelemahan dan kekuatan kita. Dan hari ini, saya terfikir untuk memecahkan rekod peribadi saya sebelum ini. Ini membuat saya bersemangat untuk bangun pagi dan cuba untuk memecahkan rekod saya semalam. Saya fikir ini adalah satu idea yang baik agar kita tidak merasa hidup kita sama saja setiap hari. Kita akan merasa ada matlamat yang perlu dicapai hari ini, dan bila matlamat itu tercapai maka kita akan gembira.
9. Tiada kejayaan cepat
Jangan mengharapkan kejayaan yang cepat kerana hidup kita tidak berubah dalam sekelip mata, ia hanya berubah sedikit demi sedikit. Ia bermula dari apa yang kita fikir dan lakukan setiap hari.
10. Mengesan kelemahan dari rekod
Lihat dan baca rekod yang kita ada dan kenalpasti sama ada perkembangan atau kemerosotan, dan apabila kita mengesan kelemahan, luangkanlah masa untuk berlatih memperbaiki kelemahan tersebut. Mulakan dengan berfikir dan menulis tentang kelemahan kita itu berpandukan 5W1H. Saya fikir tabiat ini membantu kita berkembang secara menyeluruh dari masa ke semasa.
11. Tiada lagi soalan makanan dan pakaian
Seringkali kita memerah kepala untuk menjawab soalan “Apa yang hendak dimakan tengah hari ini?” atau “Apa yang hendak dipakai esok?”. Bagi orang yang ingin menjadi lebih baik, soalan seperti ini sepatutnya tidak lagi memerah tenaga kita untuk berfikir kerana kita sudah tahu apa yang kita perlukan demi untuk mencapai matlamat kita. Rutinkan makanan kita dan tetapkan fesyen yang selari dengan matlamat kita. Ini akan menjadikan kita lebih produktif dan dalam masa yang sama akan laju untuk maju.
12. Baca bahan berkualiti
“Kita adalah apa yang kita baca dan lihat”, saya yakin kita semua tahu pernyataan ini tapi kita masih teramalkannya. Contohnya, bila kita di Facebook atau Instagram, kita menonton video “Pertarungan”. Adakah anda seorang “Petarung”? Tidak bukan. Habis tu, kenapa membuang-buang masa melihat video yang tidak berkaitan dengan kerjaya kita? Tahukah kenapa Warren Buffett menjadi pelabur terkaya di dunia? Sebab dia meluangkan lebih banyak mengasah kemahiran membuat keputusannya dengan membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan pelaburannya.
13. Normal yang luar biasa
Kebanyakkan orang berjaya sebenarnya tidak mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti yang kita lihat dalam filem-filem hiburan seperti Superman dan Spiderman. Dalam dunia realiti, kita boleh menjadi lebih baik dengan hanya melakukan perkara normal. Contohnya, Jika kita boleh berbelanja dengan normal sesuai pendapatan kita, maka kita boleh berjaya dalam kewangan. Persoalannya, Apa perkara yang normal bagi kita? Adakah ia perkara normal yang relevan dan berkualiti untuk kerjaya kita?
14. Masa yang tepat mengikut perasaan atau fikiran
Masa yang tepat untuk mengikut perasaan adalah bila kita memahami sesuatu perkara by heart. Tapi, bila kita sedang membuat perkara yang baru, itulah masa yang tepat untuk menggunakan fikiran. Sebagai contoh, kita ingin menjual 5 buah rumah pada hari ini, kerana kita hanya dapat menjual 4 buah rumah sahaja pada hari sebelumnya. Jadi, kita kena sedar, ini adalah perkara baru, kita kena gunakan fikiran kita untuk berusaha mencapai matlamat ini. Dalam contoh ini, saya pasti, perasaan tidak dapat membantu kita menjual lebih banyak dengan cepat. Jadi kesimpulannya, gunakan fikiran kita untuk menjadi lebih baik dari semalam.
15. Berlatih secara menyeluruh
Kita perlu berlatih secara menyeluruh supaya perkembangan kita stabil. Bagaimana? caranya ialah kenalpasti kelemahan dan beri latihan pada aspek tersebut. Kita boleh reka latihan dalam bentuk yang menyeronokkan agar kita bersemangat untuk berlatih.
16. Berjaga-jaga bila ada perkembangan luar biasa
Bila perkembangan kita meningkat secara luar biasa, kita akan cenderung untuk hilang kawalan diri kerana kita terlalu gembira hingga lupa bahawa setiap pencapaian tinggi akan membawa tanggungjawab yang tinggi. Keadaan paling teruk lagi ialah apabila kita mahu yang lebih lagi, dalam dunia Trading contohnya, orang seperti ini selalu rugi.
17. Cari garis permulaan
Ada masanya kita ingin mengubah hidup tapi kita tidak tahu dari mana hendak mula. Keadaan ini muncul kerana kita selalu mengharapkan kesempurnaan iaitu tidak pernah melakukan kesilapan selepas mengembil keputusan untuk berubah. Tidak salah untuk mengharapkan kesempurnaan, tapi secara logiknya “Bolehkah kita hidup dengan sempurna?”. Tidakkan. Oleh itu, untuk mengubah hidup kita menjadi lebih baik, perkara paling penting mesti kita lakukan ialah kita tentukan sendiri garis permulaannya. Kita ambil contoh Manny Pacquiao, garis permulaan dia ialah menjadi seorang petinju, kini dia adalah senator. Apa garis permulaan kita?
18. Tetapkan PERATURAN sendiri
Kita semua bencikan perkataan ini sebab kita mahukan kebebasan. Sebenarnya, semua peraturan dibuat untuk memastikan sesuatu matlamat tercapai. Kerajaan mempunyai peraturan untuk kebaikan rakyatnya. Kita juga boleh menetapkan peraturan peribadi berdasarkan kemampuan dan kelemahan kita untuk kejayaan kita. Jangan risau jika peraturan yang kita tetapkan berbeza dengan orang lain kerana setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Oleh itu, bila kita menetapkan peraturan untuk diri kita, pastikan kita mengambil kira titik kelemahan dan kekuatan kita tanpa melanggar peraturan yang diamalkan di negara kita.
19. Ukur dan Urus
Jika kita tidak dapat ukur, kita tidak dapat urus. Oleh itu, sebelum berusaha mencapai matlamat, ukurlah dahulu kemampuan semasa diri, kemudian uruslah kemampuan tersebut agar menjadi lebih baik dari semalam.
20. Gunakan Handphone untuk lebih baik dari semalam
Gambar dapat menunjukkan keadaan sebelum dan selepas bagi sesuatu benda. Hari ini, sangat mudah bagi kita untuk melakukan perbandingan seperti ini kerana kebanyakkannya mempunyai handphone. Jika Handphone dapat membantu kita lebih baik dari semalam, apa lagi yang menghalang kita untuk menangkap gambar perkembangan kita setiap hari.
21. Latih aspek-aspek yang perlu dilatih
Ketika membuat refleksi diri, kenalpasti perkara yang kita tidak puas hati hari ini. Kemudian, fikirkan satu perkara mudah yang membuatkan aspek tersebut sedikit lebih baik dari sebelum ini. Luangkan masa latihan setiap hari sehingga mencapai 20 jam latihan.
22. Mengalahkan diri sendiri
Salah satu cara untuk mengalahkan diri sendiri ialah dengan menjadi konsisten. Kerana konsisten, membuat kita terus menerus menekan diri kita lebih dari sebelumnya. Sebenarnya, ramai yang individu yang mencapai kejayaan besar kerana dapat mengalahkan kemahuan diri mereka sendiri iaitu dengan menjadi konsisten berjaya.
23. Jadikan masa lalu sebagai penanda aras
Janganlah membenci masa lalu. Ambillah masa lalu kita sebagai penanda aras agar kita dapat melakukan lebih baik dari sebelumnya. Kita juga boleh melihat masa lalu sebagai rekod peribadi untuk kita pecahkan sepertimana yang dilakukan oleh atlit-atlit sukan dunia.
24. Peraturan 1 minit
Letakkan benda yang kita perlukan di tempat yang betul supaya kita boleh mencarinya dalam masa 1 minit apabila diperlukan. Tabiat seperti ini dapat melancarkan urusan harian agar tenaga dan fikiran kita dapat ditumpukan sepenuhnya pada matlamat kita iaitu untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
25. Jadilah orang yang berdisiplin
Tiada orang yang mampu mencapai apa-apa pencapaian tanpa disiplin. Kenapa? Kerana disiplin itu sendiri adalah latihan pada perkara yang membuatkan kita lebih baik. Selain itu, disiplin membuatkan fikiran kita jelas dan tidak berbelah bagi. Latihan memacu kepada kemajuan diri kita. Latihan membantu kita membentuk tujuan. Latihan membantu kita mengembangkan kemahiran. Latihan membantu kita meningkatkan kemakmuran. Oleh itu, berlatihlah dalam disiplin yang diminati.
26. Sentiasa Amal
Sentiasa amalkan tabiat ini. Pertama, ingat kali terakhir kita membuat kesilapan. Kedua, renungkan kesilapan tersebut. Ketiga, cari dan tulis punca-puncanya. Keempat, elakkan dari mengulangnya lagi. Apabila kita sentiasa mengamalkan tabiat baik ini, percayalah manfaat akan berganda-ganda datang pada masa depan.
27. Kemahuan menjadi lebih baik
Tanamkan dalam minda kita untuk menjadi lebih baik setiap hari. Namun, berhati-hati kerana kemahuan ini mungkin mendorong kita menjadi orang yang tamak. Untuk mengelakkan perkara seperti ini terjadi, rajin-rajinlah membaca agar pertimbangan kita menjadi luas dan tidak melihat pada satu aspek sahaja ketika membuat sesuatu keputusan.
28. Sediakan apa yang normal
Apa yang biasanya kita gunakan setiap hari? pakaian, sarapan, makan tengah hari, makan malam, pen, nota kecil, jam, handphone dan banyak lagi. Alat-alat ini perlu diletakkan pada tempat yang mudah untuk kita ambil ketika hendak keluar dari rumah. Perkara ini normal bagi kita, tapi mungkin luar biasa bagi orang lain kerana kita dapat mengurus hidup kita dengan jelas teratur.
29. Pilih haluan hidup
Kita ingin menjadi lebih baik dari segi apa? Persoalan ini perlu dijawab kerana menyedari keinginan kita yang terlalu banyak. Kalau boleh kita mahu dapat semua yang kita mahukan. Tapi realitinya, masa dan tenaga kita sangat terhad. Kita ada masa 24 jam sehari, dan 8 jam dari jumlah masa itu digunakan untuk mengembalikan tenaga kita. Dan tenaga ini pula, boleh habis dengan cepat jika kita bergerak bekerja tidak tentu hala. Pilihlah haluan hidup yang jelas agar kita boleh tumpukan masa dan tenaga kita dalam usaha untuk menjadi lebih baik dari semalam.
30. Hubungkan poin-poin penting hidup kita
Perkara paling sukar untuk mula menjadi lebih baik ialah mencari titik permulaan. Mungkin kita seorang yang pentingkan kesempurnaan. Sebenarnya, bila kita tahu menghubungkan peristiwa-peristiwa lalu dengan matlamat kita, kita tidak akan merasa sukar untuk mencari titik permulaan. Kita boleh saja mula menjadi lebih baik dari siapa kita sekarang, kerana semuanya akan terhubung dalam proses untuk kita menjadi lebih baik. Pengalaman lalulah yang berhubung dengan kita, memacu kita untuk terus maju.
Kesimpulan
Sistem untuk menjadi lebih baik dari semalam tidaklah sukar kerana secara asasnya ia boleh disusun dengan menjawab 3 soalan penting ini: Apa yang kita ada sekarang? Apa yang kita mahu pada masa depan? dan Bagaimana gaya hidup kita untuk menuju ke masa depan kita?. Inilah perkongsian saya untuk bulan november ini. Saya harap perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan pembaca untuk menjadi lebih baik dari semalam. Jumpa lagi bulan depan.