Kelebihan membaca buku secara kuat salah satunya ialah kita boleh mengekspresi diri kita dengan pelbagai watak dan situasi.
Sebenarnya apabila kita membaca dengan kuat, kita menggunakan sebilangan besar keupayaan vokal kita.
Bukan itu saja, kita mungkin juga akan menyedari betapa bergunanya suara kita dalam kemajuan kerjaya kita.
Dan semua itu boleh dicapai sekiranya kita kerap melakukanya.
Berikut adalah 7 kelebihan membaca secara kuat untuk memotivasikan kita mula mengamalkannya.
Amalan hebat ini akan membantu kita memperbaiki kemahiran komunikasi kita.
Credit: Tamarcus Brown
1. Menajamkan fokus
Apabila kita membaca dengan kuat, kita sedang menggunakan hubungan antara fikiran kita dan suara kita yang akan menghasilkan daya tumpuan yang lebih padu.
Tumpuan dan kesepaduan yang terhasil ini boleh membantu kita membaca dan memahami ayat arahan yang panjang dengan cepat.
Selain itu, kita juga akan lebih mudah menumpukan semua tenaga kita kepada tugas yang sedang dijalankan.
Hasilnya, kita akan lebih cepat menyelesaikan tugas yang diberikan.
2. Meningkatkan perbendaharaan kata
Adakah kita pernah terjumpa perkataan dalam buku yang kita tidak pasti cara untuk menyebutnya?
Membaca kuat dengan lebih kerap boleh membantu kita membiasakan diri dengan perkataan yang tidak dikenali.
Apabila kita membaca dalam kepala kita, kita hanya mendengar perkataan secara dalaman dan kesannya terhadap kita adalah terhad.
Jika kita memilih untuk membacanya dengan kuat, kita mungkin mendapati lapisan makna yang lebih mendalam dalam perkataan kerana apabila ia dituturkan, perkataan itu seolah-olah hidup dan menjadi sebahagian daripada kita.
Dan melalui pemahaman, perkataan ini akan menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata dan mempengaruhi penggunaan bahasa kita.
Akhir sekali, di samping meningkatkan perbendaharaan kata, kita juga merasa gembira kerana menemukan melodi perkataan yang tidak pernah kita tuturkan sebelum ini.
3. Mengembangkan Pemahaman
Pemahaman bukan sekadar mengetahui apa perkataan itu; ia melibatkan pemahaman gambaran yang lebih besar.
Semasa membaca, fikirkan betapa pentingnya kita membaca secara keseluruhan muka surat sebelum meneruskan ke muka surat seterusnya.
Selain itu, kita bukan sahaja perlu tahu bagaimana kita harus membaca sesuatu perkataan, tetapi kita juga perlu memahami ke mana perkataan itu akhirnya membawa kita, dan bagaimana cerita itu berakhir sebelum kita berkongsi dengan orang lain.
Apabila kita dapat memahami gambaran besar, kita akan dapat menyampaikan maklumat dengan gaya yang lebih pakar, dalam bentuk cerita atau pun jenaka.
Dengan membaca secara kuat, perkara yang tidak kita fahami sebelum ini akan menjadi sangat jelas, kerana kita menghayati pembacaan kita menggunakan hampir kesemua organ deria kita.
4. Memberi peluang untuk bermain
Membaca dengan kuat sepatutnya menyeronokkan kerana ia mengembangkan imaginasi kita dan menerokai keupayaan yang tersembunyi dalam suara kita.
Seorang Pencerita buku audio, Ilyana Kadushin berkongsi petuanya untuk belajar menjadi penceramah yang hebat dan mengharungi cabaran membaca penceritaan bentuk panjang dengan kuat.
Katanya “Pergi ke rumah warga emas atau tempat untuk orang buta, atau tempat untuk kanak-kanak dan bacakan kepada orang ramai dengan kuat dan benar-benar rasakan bagaimana rasanya untuk mengekalkan penceritaan dan merasakan bahawa seseorang sedang mendengar”.
Baca juga 31 Tips untuk Konsisten Sepanjang Tahun
5. Senaman badan
Apabila orang bercakap, kita sering melibatkan lebih daripada sekadar suara kita dalam proses penyampaian.
Malah, ramai di antara kita, berpunca daripada budaya atau sebaliknya, apabila bercakap, kita menggunakan seluruh badan kita untuk menyampaikan maksud.
Ekspresi fizikal menambah atau menyokong perkara yang kita perkatakan dan juga boleh membantu suara kita berbunyi lebih menarik.
Apa lagi kalau kita sedang menggunakan suara bagi sesuatu perwatakan.
Lihat video bagaimana pelakon Zootopia menggunakan tangan mereka apabila mereka bercakap semasa mereka masuk ke dalam watak masing-masing.
Ia seperti senaman yang menyeronokan.
6. Mencabar penggunaan intonasi
Apabila kita membaca dengan kuat, bunyi yang membosankan bukanlah pilihan yang baik untuk kita, apalagi kalau ada yang melihat kita.
Gunakan kemampuan penuh suara kita.
Dengan menuturkan perkataan seolah-olah kita mempunyai niat penuh untuk mendengarnya, kita akan dapat menemui dan menerokai kemampuan suara kita dengan lebih mendalam.
Semasa membaca, perhatikan di mana suara kita naik, turun, bermula, berhenti, turun naik dan juga yang mengejutkan kita.
Corak pertuturan penting kerana ia membantu merangka apa yang diperkatakan dan bagaimana ia diterima.
Apabila kita membawa pengalaman dan motivasi membaca kita, bukan saja pembacaan kita menjadi istimewa tetapi suara dan kesenian kita akan turut bersinar serta kaya dengan penuh makna.
7. Meningkatkan kemahiran mendengar dan membaca
Akhir sekali, membaca dengan kuat akan membuatkan kita lebih sedar tentang perkara yang kita baca, dengar, dan juga membantu kita mengenal pasti tatabahasa, struktur ayat dan sebagainya dengan betul.
Membaca dengan kuat juga banyak membantu membentuk tafsiran kita tentang perkara yang diperkatakan.
Kita akan dapat membaca dengan lebih cekap, dapat mengembangkan kemampuan sastera kita dan juga bereksperimen dengan pelbagai cara kita mentafsir perkataan bertulis, kemudian menterjemahkan penemuan kita melalui ungkapan perkataan yang dituturkan.
Kesimpulan
Membaca buku secara kuat bukan saja dapat menambah pengetahuan kita, ia juga dapat membantu kita memperbaiki kemahiran komunikasi khususnya dari aspek intonasi.
Inilah kelebihan membaca buku secara kuat yang patut untuk diketahui oleh kita yang gemar membaca buku.
Kita dapat menjadikannya sebagai latihan memperbaiki suara karena semua komponen penghasilan suara digunakan secara lengkap mulai dari intonasi, tenaga, dan ton suara.
Selengkapnya kita dapat lihat di voices.com