Saya menyedari yang sukar untuk mula menulis sesebuah artikel.
Apalagi bagi blogger yang baru saja berjinak-jinak dalam dunia blogging.
Saya memahami perasaan itu dan saya disini hari ini ingin membantu semampu yang boleh untuk menolong mereka melancarkan penulisan mereka.
Saya ingin mereka terus berjaya sebagai blogger selepas saja mereka membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam aktiviti penulisan ini.
Jika sebelum ini, mereka hanya dapat menulis 1 artikel seminggu, selepas ini saya harap mereka akan dapat menulis 2 artikel dalam seminggu.
Dibawah ini adalah 10 contoh ayat pengenalan yang boleh digunakan dalam penulisan artikel berdasarkan kategori topik yang saya sediakan.
Credit: Lukas Bieri (Pixabay)
1. Tabiat Mencapai kebebasan kewangan
Setiap hari saya memikirkan tentang kewangan. Saya pasti, apa yang saya lakukan ini pernah terjadi juga dalam kehidupan orang lain.
Saya mahu membayar hutang saya, saya mahu meningkatkan pendapatan saya, saya mahu melakukan pelaburan, saya mahu membayar bil keperluan bulanan.
Semua ini menyebabkan kita sentiasa sibuk untuk mencari jalan bagaimana untuk menampung semua ini.
Jika saya tidak berkerja, saya tidak akan dapat membayar semua bil-bil ini. Jika saya tidak berusaha, saya akan menjadi seorang pengalah.
Sebab itulah pada hari ini, saya akan mengongsikan kepada anda 5 tabiat kewangan yang membantu kita mencapai kebebasan kewangan.
2. Cara menghias Kediaman sendiri
Saya pernah bertanya pada diri saya kenapa saya merasa bosan di tempat kediaman saya?
Kenapa saya tidak ceria ketika berada di rumah?
Siapakah yang boleh membantu saya menghias rumah saya supaya saya tidak lagi merasa bosan berada di dalamnya?
Inilah 5 perkara yang saya lakukan untuk menjadikan rumah saya sebagai syurga kecil dalam kehidupan harian saya.
3. Meningkatkan tahap kesihatan belia
Kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya. Itu menurut Badan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut kamus dewan pula, Kesihatan adalah berhubung dengan sihat, kesegaran, kebaikan keadaan badan dan lain-lain.
Saya telah melihat statistik tahun 2011 yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.
Semasa melihat statistik itu, saya terkejut dengan info yang ada didalamnya, rupanya ada 7 cara untuk meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan belia. Mari semak
4. Senaman Menjaga Kecantikan dan Kecergasan
No man has the right to be an amateur in the matter of physical training. It is a shame for a man to grow old without seeing the beauty and strength of which his body is capable. – Socrates
Socrates pernah menyatakan yang tidak ada lelaki yang berhak menjadi amatur dalam soal latihan fizikal.
Saya juga berfikiran begitu, kerana yang penting bagi saya ialah kita melakukan latihan tersebut mengikut kemampuan diri kita.
Tubuh yang sihat dan cergas memberi banyak kesan kepada kecantikan diri serta penampilan wajah yang secara langsung meningkatkan keyakinan diri kita.
Tidak kiralah kita lelaki atau perempuan.
Hari ini saya akan kongsikan 5 senaman yang saya selalu lakukan untuk menjaga kecantikan fizikal dan kecergasan saya.
5. Langkah melabur dalam bidang Harta Tanah
Saya membaca email yang dikirimkan oleh Robert Kiyosaki kepada saya hampir setiap hari.
Ada masanya, saya membaca dari satu perkataan ke perkataan yang lain. Ada masanya saya hanya mengimbas sahaja.
Tapi hari ini, hati saya tertarik dengan satu email yang bertajuk “What’s the big deal about cash flow?”.
Saya tertanya-tanya, “Bagaimana cara untuk meningkatkan cashflow?” Saya membaca email itu sehingga habis dan merasa puas kerana saya telah belajar tentang hartanah.
Pada hari ini, saya akan kongsikan kepada kamu 5 langkah untuk melabur dalam bidang hartanah.
6. Rutin menjaga Haiwan Peliharaan
Kucing Malaysia yang pertama kali dikembangbiakan ialah pada tahun 1994, yang mana, bakanya berasal dari Malaysia.
Pada tahun 1999, saya pertama kali mengenal haiwan yang namanya ialah kucing. Saya masih kanak-kanak pada masa itu. Yang saya tahu pada masa itu ialah saya menyukai kucing, tapi saya tidak berdaya untuk menjaganya pada masa itu.
Kini, pada tahun 2020, saya sudah dewasa dan tahu apa rutin-rutin yang baik untuk menjaga haiwan peliharaan seperti kucing.
Inilah 5 rutin yang saya selalu lakukan setiap hari untuk memelihara kucing saya.
7. Penyedia perkhidmatan Internet Malaysia
Hampir semua orang pada masa ini menggunakan internet dalam kehidupan harian mereka. Melalui internet, kita boleh mencari maklumat, kita boleh berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan.
Dan yang menarik lagi, kita boleh memesan apa-apa barang yang kita mahukan. Hanya masukkan nama, email, alamat, butiran bank dan SIAP.
Di Malaysia, terdapat 5 syarikat utama yang menyediakan kemudahan internet kepada penduduk-penduduknya.
Apa 5 syarikat itu? Mari semak.
8. Makanan untuk Mengekalkan berat badan
Pepatah “Sarapan seperti raja, makan tengah hari seperti putera dan makan malam seperti pengemis” mempunyai maknanya yang sangat mendalam.
Ia mengajar kita supaya mengambil makanan mengikut keperluan tubuh kita supaya khasiat makanan tersebut dapat digunakan oleh badan secara maksimum.
Apabila makanan diambil mengikut keperluan kita, peratus kolestrol atau lemak kita akan menurun.
Selain kuantiti makanan, kualiti makanan juga perlu diberi perhatian.
Inilah 5 makanan yang saya ambil untuk mengekalkan berat badan saya supaya tidak melebihi 60KG.
9. Persediaan ketika Beli-belah di kedai runcit
Saya: Uncle, saya mahu keropok keju satu.
Tauke: Nah, 50 sen.
Saya: Ini wangnya 50 sen uncle. Terima kasih ya.
Tauke: Sama-sama, datang lagi ya.
Selepas itu saya pulang ke rumah dan menikmati keropok keju yang paling sedap di dunia itu.
Selain membawa duit kecil, ada 4 lagi persediaan ketika membeli-belah di kedai runcit.
10. Cara memulakan Perniagaan
Buku Think and Grow Rich merupakan buku klasik yang masih releven pada hari ini.
Buku ini yang ditulis oleh Napoleon Hill, seorang lelaki yang berasal dari Carolina Selatan, Amerika Syarikat.
Buku ini ditulis dalam tempoh 25 tahun, tidak hairanlah kenapa buku ini sangat memberikan kesan yang mendalam pada kehidupan saya.
Buku ini bukan sahaja memberikan dan mengajar saya cara berfikir sebagai seorang yang berjaya, malah menguatkan tekad saya untuk memulakan perniagaan.
Inilah 5 cara yang saya gunakan untuk memulakan perniagaan onlina saya.
Kesimpulan
Saya merasa lebih senang untuk menulis pengenalan bagi artikel yang berbentuk senarai kerana mudah untuk saya masuk ke isi yang pertama.
Sebenarnya ada 11 jenis pengenalan dalam penulisan artikel, tapi saya hanya kongsikan 10 sahaja dalam artikel ini.
Saya mencadangkan kepada blogger blogger yang baru untuk menghasilkan artikel dalam bentuk senarai seperti artikel ini supaya lebih mudah untuk dihasilkan.
Saya harap artikel kali ini dapat membantu melancarkan penulisan rakan-rakan blogger semua. Semoga bermanfaat.