Blogger berjaya adalah seorang yang konsisten menulis bahan untuk blog agar pembacanya termotivasi membina hidup yang diimpikan.
Ada blogger yang pada mulanya bersemangat, tapi akhirnya berhenti kerana tidak dapat mengharungi cabaran-cabaran dalam dunia blogging.
Apa yang membuatkan seseorang menjadi blogger berjaya?
Hari ini saya akan mengongsikan 15 Fikiran positif yang dapat memotivasikan kita untuk terus menghasilkan artikel untuk blog kita.
Kredit: EKATERINA BOLOVTSOVA (Pexels)
1. Kejayaan Kekal Tidak Dicapai dalam Satu Malam
But in my experience, it’s true. There is no overnight success – Darren Rowse
Darren Rowse dalam artikelnya yang bertajuk Good Blogs Take Time menyatakan yang tiada kejayaan berlaku dalam satu malam.
Saya bersetuju dengan dia kerana kejayaan dalam satu malam itu sangat jarang berlaku.
Kalau adapun , kejayaan itu tidak bertahan lama kerana tiada persediaan diri dalam mengurus kejayaan tersebut.
Setiap kejayaan membuka peluang baru, pada masa yang sama memberi kita tanggungjawab yang baru.
Sebagai contoh, sebelum kaya kita tidak perlu membayar cukai, sahabat-sahabat kita pun tidak ramai.
Tapi pada waktu kita kaya, kawan-kawan kita akan bertambah, begitu juga dengan pesaing, selain itu kita juga perlu membayar cukai dan kita perlu mengupah pakar dalam mengurus kekayaan kita, dan macam-macam lagi pengurusan yang berskala besar dan profesional yang perlu kita lakukan.
Semua itu perlukan komitmen pengurusan yang cekap.
Pada masa ini, apa yang perlu kita belajar ialah pengurusan yang cekap, bijak dan tahan lama.
Berlatihlah menulis mengikut rentak yang sesuai dengan diri kita dan tingkatkan tanggungjawab kita apabila kita sudah benar-benar bersedia.
2. Berehat Jika Penat Menulis
I generally sleep VERY well. I go to bed tired and sleep deeply. – Problogger
Menulislah ketika kita masih merasa segar.
Saya sering mengalami rasa mengantuk berat ketika menulis sesebuah artikel.
Selalunya saya akan mengantuk selepas 20-30 minit saya mula menulis.
Saya cuba untuk melawan rasa mengantuk itu tapi tidak berdaya.
Penulisan dan idea-idea saya tersekat-sekat kerana sering terlelap.
Saya masih mahu menulis tapi tubuh saya sangat letih.
Akhirnya, saya mengaku kalah, saya tidur dengan tekad mahu menulis sepuas-puasnya apabila bangun dari tidur.
Bila saya bangun dari tidur, saya tidak dapat terus menulis, kerana saya perlu melakukan beberapa rutin yang membantu saya menulis dengan baik antaranya ialah berdoa, membaca buku, membersihkan diri, pergi kerja, bersenam dan menulis pada malam hari.
Walaupun hanya sedikit masa yang dapat diluangkan untuk menulis, saya akan tetap menulis kerana penulisan adalah minat saya yang sesungguhnya.
Saya baru meyedarinya tahun ini, dan saya ambil ini sebagai tiang untuk saya memberikan nilai tambah dalam kehidupan orang lain.
Bagaimana dengan kamu?
3. Meletakkan Harapan Tinggi Pada Ayat yang Ditulis
Saya melihat dari sudut penulisan artikel blog.
Saya berfikir seperti ini, setiap ayat yang saya tulis akan mendekatkan saya pada matlamat saya.
Bila saya melakukan ini, saya akan tahu dan mencari tahu apa perkataan yang selari dengan matlamat saya.
Saya meletakkan harapan yang tinggi pada ayat yang saya tulis kerana ia akan membantu memberikan lebih semangat untuk melakukan yang terbaik.
Bila saya melakukan ini, saya akan berjaya dan mungkin juga gagal, tapi sekurang-kurangnya ia akan meletakkan blog saya ditempat yang lebih baik dari sebelumnya.
Sebagai contoh, jika saya mahukan kereta, saya gunakanlah perkataan kereta supaya pada akhirnya saya mendapatkan sebuah kereta.
Jika saya mahu bijak, saya gunalah perkataan bijak supaya saya menjadi bijak.
Saya yakin yang perkataan yang selalu saya gunakan itulah yang akan menentukan masa depan blog saya.
Disebabkan itulah, saya suka memilih perkataan yang terbaik dalam ayat yang saya tulis.
4. Menulis Membantu Saya Bertumbuh Lebih Baik
Keeping a journal can also help you track progress on your goals and observe your personal growth. – HuffPost
Ini lagi satu bentuk fikiran positif yang membuatkan saya terus menghasilkan artikel untuk blog ini.
Setiap apa yang saya tulis diblog ini adalah apa yang saya belajar dalam hidup saya. Semakin banyak saya belajar, semakin banyaklah artikel yang saya mampu hasilkan.
Bukan itu saja, saya juga boleh membandingkan kualiti ayat artikel saya yang DULU dan SEKARANG.
Selain untuk tujuan perbandingan, saya boleh menentukan titik mula yang sesuai dengan diri saya untuk tujuan naik taraf diri.
Sebagai contoh, DULU saya hanya tahu 9 produk Google, tapi SEKARANG saya tahu ada 81 produk Google.
Pada masa depan, kalau Google menambah lagi produk mereka, saya naik taraf lagi artikel saya mengikut keadaan semasa.
Harapan tentang adanya peluang untuk bertambah lebih baik, benar-benar memberikan saya fikiran positif untuk terus menulis.
Dan proses pertumbuhan menjadi lebih mudah kerana saya sudah mempunyai rekod keadaan dan kemampuan semasa saya melalui artikel-artikel di blog ini.
Tugas saya hanyalah untuk pecahkan rekod peribadi saja. Bagaimana dengan kamu?.
5. Saya Yakin Ini Boleh berjaya
All bloggers have one thing in common: they want their blog to succeed. For most bloggers, success means converting loyal followers. – Blogging Basics 101
Saya mempunyai keyakinan yang tinggi yang saya akan berjaya dalam dunia blogging ini kerana saya lemah dalam pertuturan sehingga saya membuat keputusan muktamad untuk fokus pada penulisan.
Saya akan bertumbuh lebih baik melalui dunia penulisan blog.
Jika orang boleh berjaya melalui Tinju, Bola Keranjang, bola sepak, bernyanyi dan lari pecut, maka saya memilih untuk berjaya melalui penulisan blog.
Sebabnya ialah saya suka membaca. Membaca dan menulis adalah pasangan yang tidak boleh dipisahkan lagi.
“Bagai isi dengan kuku” lah katakan.
Sebab lain ialah saya suka online marketing.
Dan sekali lagi, menulis dapat membantu saya melakukan marketing di internet.
Saya sangat-sangat yakin yang saya boleh berjaya sebagai Blogger.
Bagaimana dengan diri kamu, adakah kamu yakin kamu boleh berjaya sebagai blogger?
6. Belajar Sendiri dan Merujuk Kepada Pakar
If you ask any expert in the field, they will tell you that everything PF has already been written. In order to separate yourself from the hundreds of PF blogs out there, you have to put your own spin on the topics or just talk about your personal experiences. – Darren Rowse
Platform blogger membolehkan saya mengongsikan pengalaman diri mengenai topik yang saya minati.
Walaupun saya telah pakar dalam sesuatu subjek, orang lain masih lagi mahu melihat bagaimana saya mengaplikasi pengetahuan yang saya ada dalam kehidupan sebenar saya.
Bagaimana pula dengan orang yang tiada kepakaran?
Jika orang itu minat menulis blog, proses pembelajaran kendiri akan menjadi lebih seronok kerana selain dapat menghasilkan artikel baru untuk blog, mereka juga bertambah yakin kerana dapat merujuk dan belajar dari Pakar.
Impak pembelajaran akan lebih kekal kerana selain belajar, mereka juga akan menulis apa yang mereka belajar.
Sebagai contoh, saya suka belajar mengenai Blogger, kerana saya ingin menulis tentang Blogger, sebab itu saya perlu belajar dari Blogger profesional seperti Darren Rowse dan Seth Godin.
Kesannya, saya yakin dengan cara saya berblog kerana saya melakukan apa yang blogger profesional lakukan.
Itulah yang saya lakukan apabila saya merasa tidak yakin dengan apa yang saya tulis di blog ini iaitu belajar dan merujuk kepada pakar.
7. Kejayaan Adalah Apa Yang Kita Lakukan Setiap Hari
Saya mahukan kejayaan yang berterusan.
Dan untuk mencapai itu, saya perlu menulis setiap hari.
Blogger Profesional meluangkan masa sekurang-kurang 3 jam sehari untuk menghasilkan sebuah artikel bagi blog mereka.
Kamu mungkin tidak percaya ini, sebab kamu belum mengujinya sendiri.
Saya sangat yakin dengan definisi kejayaan ini kerana kita adalah manusia yang boleh menjadi semakin hari semakin baik.
Apalagi kalau kita sanggup untuk memberikan komitmen 3 jam sehari untuk menulis, kamu akan melihat hasilnya dalam masa 3-4 bulan.
Saya dan kamu boleh berjaya jika kamu tekun untuk menulis setiap hari.
Gaya penerangan kamu akan berbeza dengan gaya penerangan kamu pada 30 hari yang akan datang.
Sebab itu, kamu boleh berjaya jika kamu komited untuk menulis setiap hari.
8. Saya Sentiasa Bertumbuh Lebih Baik Setiap Hari
Apabila saya merasa tiada apa-apa perubahan atau keuntungan melalui blog ini, saya akan tanamkan fikiran positif seperti ini di fikiran saya.
Kemudian, saya akan fokus untuk menyiapkan artikel yang saya rancang untuk disiapkan.
Saya yakin yang mesin penjana idea saya akan menjadi semakin lancar asalkan saya menggunakannya setiap hari.
Saya yakin yang semakin kerap saya menulis, semakin cepat saya bertambah baik, dan semakin kukuh kemahiran menulis saya.
Saya yakin otot blogging saya akan menjadi semakin kuat, jika saya meluangkan masa berlatih setiap hari.
Fikiran seperti ini membangkitkan semangat saya untuk memberikan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk menulis.
9. Rekod Ini Membantu Saya Menaik Taraf Diri
The concepts of SMART and SMARTER provide an excellent way to make sure your project goals and objectives are trackable, relevant, that there are enough resources to achieve them, and there is a definite delivery deadline. – Projectsmart
Jika saya merasa diri saya membuang-buang waktu kerana menulis artikel yang tidak mendatangkan hasil yang cepat.
Saya memberitahu fikiran saya yang tujuan saya menulis adalah untuk menaik taraf diri.
Untuk menaik taraf diri, saya suka mengguna akronim SMARTER iaitu Specific, Mesureable, Achievebale, Relevent, timely, ethical dan Recorded.
Apabila ada rekod, saya tidak lagi pening-pening memikir dimana saya berhenti pada sesi sebelumnya.
Rekod juga membantu saya supaya tidak lupa tentang semua yang saya ingin capai.
Selain itu, apabila orang bertanya tentang topik yang saya pernah tulis di sini, saya hanya akan meminta mereka melawat blog saya untuk mencari jawapan pada persoalan mereka.
Dengan fikiran positif ini, saya dapat memberikan tumpuan untuk terus menulis di blog ini.
10. Saya Seimbang Dalam Usaha Mencapai Matlamat
Areas which, if not balanced, will negatively influence your ability to be successful and happy, like: Effective time management, Proper nutrition, sleep and exercise, Quality time with family, friends and loved ones. – Forbes
Saya sedar yang kesihatan, keluarga dan kawan-kawan sangat penting dalam hidup.
Saya mencuba untuk seimbangkan masa saya untuk menulis, berbual-bual, berkerja dan bersenam.
Fikiran positif seperti ini membuatkan saya tidak berputus asa walaupun rentak penerbitan artikel saya tidak konsisten.
Kalau diikutkan hati, saya mahu untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu artikel setiap hari.
Tapi, disebabkan ada komitmen pada kerja hakiki, saya tetap tenang dan terus menulis.
Saya dapati yang apabila saya seimbang dalam mengurus masa, idea saya menulis menjadi lebih luas.
Saya boleh melihat dari pelbagai sudut pandang untuk menerangkan sesuatu isi dalam artikel saya.
Itulah salah satu kebaikan yang saya dapat hasil dari kehidupan yang seimbang.
Satu lagi, saya tidak nafikan yang kadang-kadang saya hilang keseimbangan dari segi pengurusan masa.
Tapi bagi saya, itu normal, asalkan saya dapat kembali menyeimbangkan masa dan aktiviti wajib saya, itu sudah LULUS.
11. Konsisten Adalah Kunci Kepada Setiap Kejayaan
Consistency is the key to success. Consistency leads to habits. Habits form the actions we take every day. Action leads to success. As Anthony Robbins said : “It’s not what we do once in a while that shapes our lives. It’s what we do consistently. – Medium
Begitulah cara saya berfikir. Kamu pula bagaimana?
Fikiran positif ini membuatkan saya tetap konsisten dalam penulisan artikel blog.
Saya menetapkan dalam minda saya yang saya adalah seorang penulis.
Untuk menjadikan itu satu kenyataan, saya perlu mempunyai tabiat menulis yang lebih kerap dari kebanyakkan orang.
Saya sangat yakin dengan kuasa tabiat yang dapat mengubah masa depan seseorang.
Saya pasti ada beberapa orang dari kamu yang berpendapat sama seperti saya.
Apabila saya sudah menetapkan matlamat, saya tidak akan memberi tumpuan yang lebih pada matlamat itu, tapi pada tabiat yang membawa saya ke matlamat itu.
Sebagai contoh, saya mahu menulis artikel dengan 1000 patah perkataan.
Untuk mencapai itu, saya biasanya akan memberi tumpuan pada isi-isi, kemudian saya akan menerangkan setiap isi dalam 100 patah perkataan.
Saya melakukan perkara yang sama pada 10 isi yang ada, hingga saya dengan mudah dapat menghasilkan artikel dengan 1000 patah perkataan.
12. Saya Akan Terus Menulis Walaupun Tiada Pembaca
Nah ini lagi satu fikiran positif yang membuatkan saya terus menulis.
Setiap blogger pasti pernah mengalami situasi seperti ini.
Dan kini, mereka telah berjaya. Apa yang membuatkan mereka berjaya?
Ya, kerana mereka terus menulis walaupun tiada pembaca.
Saya terus menulis walaupun tiada pembaca kerana saya sedar yang kemahiran menulis saya masih belum sempurna.
Untuk mencapai kesempurnaan itu, saya perlu terus berlatih menulis.
Selain itu, saya sedar yang menulis membuatkan saya sentiasa sedar dan peka pada sekililing saya.
Ia menggalakkan saya untuk membaca lebih banyak, merasa lebih banyak, dan memerhati lebih banyak supaya saya mempunyai idea untuk menulis.
Saya yakin yang saya akan dapat ramai pembaca setia selepas artikel yang ke-5000.
Harapan seperti inilah yang membuatkan saya terus menulis.
Anda bagaimana?
13. Saya Tahu Cara Mencari Apa Yang Orang Ingin Baca
Saya tidak mahu membuang masa untuk menulis apa yang tidak membantu pembaca sasaran saya.
Dengan adanya fikiran positif seperti ini, saya akan berusaha untuk berhubung dengan pembaca-pembaca sasaran saya dengan menyertai kumpulan-kumpulan blogger di sosial media seperti Facebook dan Twitter.
Saya akan belajar sedikit apa yang mereka tahu dan menggunakannya untuk menarik perhatian mereka.
Saya mahu membantu mereka untuk bertambah baik dalam dunia blogging.
Biasanya, apa yang saya lakukan adalah melakukan kajian kata kunci.
Apabila saya menemui kata kunci yang tepat, saya akan cuba menulis penyelesaian mengikut pandangan saya hasil dari sumber rujukan yang saya yakini.
14. Blog Adalah Tempat Saya Menjenamakan Diri Saya
Satu lagi fikiran positif yang saya selalu tanamkan dalam fikiran saya ialah Blog adalah tempat saya mempromosikan diri saya kepada peluang-peluang yang terdapat di internet.
Saya mahu orang tahu siapa saya dan apa yang saya boleh lakukan untuk mereka.
Setakat ini saya hanya menulis semua yang berkaitan dengan rakan-rakan blogger.
Saya mahu menjenamakan diri saya dengan niche blogger. Fokus utama saya adalah untuk menyediakan info-info yang dapat membantu dapat blogger-blogger di Malaysia berjaya untuk menjana pendapatan melalui blog mereka.
Saya menggunakan nama saya sebagai Jenama saya, kerana saya mahu setiap orang yang kenal saya tahu blog saya.
Sekiranya rakan-rakan blogger mahu menjenamakan diri sendiri, binalah dan isilah blog anda dengan artikel-artikel yang mencerminkan diri anda sendiri.
Sebagai contoh, warna, font dan reka bentuk yang anda sukai.
15. Saya Tulis Supaya Saya Boleh Cakap
Otak manusia secara semula jadi dicipta untuk bercakap dan bukannya untuk membaca dan menulis.
Saya menyedari ini, tapi saya suka cara belajar bercakap dengan menulis dahulu apa yang saya ingin katakan.
Sebabnya ialah saya mahu menggunakan perkataan terbaik dan tersusun untuk bercakap-cakap dengan keluarga dan rakan-rakan saya.
Saya cuba untuk menulis seperti saya sedang bercakap.
Saya mahu untuk mengadunkan kelucuan dan fakta dalam setiap tulisan saya, supaya satu hari nanti saya boleh bercakap seperti itu.
Saya melakukan ini kerana saya sedang melatih diri saya untuk memperbaiki kemahiran bercakap melalui akronim TWS iaitu Think, Write and Speak.
Jadi, melalui aktiviti menulis ini, saya secara tidak langsung sedang berusaha memperbaiki kemahiran komunikasi saya.
Inilah fikiran positif yang membuatkan saya terus dapat menghasilkan artikel sampai hari ini.
Kesimpulan
Itulah 15 fikiran positif yang selalu saya timbulkan dalam minda saya apabila merasa tiada keuntungan dalam dunia blogging.
Ini juga yang membuatkan saya terus menghasilkan artikel.
Saya harap artikel ini juga dapat memotivasikan rakan-rakan semua untuk terus menghasilkan artikel di blog masing-masing.
Akhir sekali, saya mahu cadangkan kepada rakan-rakan semua untuk membaca buku “Think and Grow Rich dari Napoleon Hill supaya kamu tahu semacam apa bentuk fikiran yang membuatkan saya terus positif dalam mengembangkan blog ini.
Saya telah pun membacanya 2 kali sebelum ini dan bertekad untuk menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan wajib setiap tahun.
Jika kamu sudah membacanya, bolehlah kongsikan sedikit dengan saya tentang bab apa yang paling memberi impak dalam hidup kamu. Semoga bermanfaat.