Minggu ini senang bagi saya untuk melaksanakan beberapa tanggungjawab saya. Walaupun sebaliknya ada yang saya ketepikan, mungkin kerana saya belum ada kesungguhan untuk melaksanakan permintaan dunia ini. Dalam melalui minggu ke lima tahun ini, ada 7 persoalan yang membuat saya berfikir, persoalan itu adalah;
1. Adakah kita benar-benar mahukannya?
Saya bercakap tentang matlamat yang kita tetapkan untuk hidup kita. Jika kita benar-benar mahukannya, kita mesti sedar dengan tindakan yang perlu diambil untuk mencapai matlamat kita. Kita mesti hidup setiap hari. Dan hidup itu adalah ketika Kita merasa penat, mengantuk, lapar, rindu, sedih, benci, ketawa, bernyanyi, belajar dan sebagainya. Kita seakan-akan orang mati, jika tidak merasa semua ini. Pilihlah mana yang perlu untuk matlamat tertentu. Jika kita boleh berjaya dengan hanya senyum, maka kurangkan serius dan lebihkan senyuman. Jika kita boleh berjaya dengan membaca, maka kurangkan main game, lebihkan membaca. Ada yang perlu dikurangkan dan ada yang perlu dikerapkan.
If you really want to do something you’ll find a way. If you don’t you’ll find an excuse. – Jim Rohn
2. Adakah perlu untuk sentiasa mengetahui prestasi semasa kita?
Ya, Kita perlu sentiasa tahu prestasi semasa kita supaya kita sedar siapa kita. Sedar diri bermaksud kita tahu dimana had kekuatan dan kelemahan kita. Bila kita tahu had ini, kita tahu bagaimana untuk meningkatkan kekuatan kita. Orang-orang yang bijak selalunya mengenal diri mereka, sebab itulah mereka hanya bercakap tentang perkara yang mereka tahu. Mereka tidak akan bercakap tentang apa yang mereka tidak tahu. Inilah sebabnya kita perlu sentiasa mengetahui prestasi semasa kita. Jadi sekarang, tulis perkembangan semasa kita dalam usaha mencapai matlamat yang kita tetapkan untuk diri kita. Tulis saja walaupun perkembangan kita sedikit atau perlahan.
3. Kenapa kita tidak kaya?
Pertama sekali, kita tiada tumpuan. Semua kita mahu cuba, kita mahu tunjukkan yang kita hebat buat semua benda sedangkan kita hanya perlu belajar untuk berkolaborasi dengan orang yang hebat dalam perkara lain. Kedua, Warren Buffet hebat dalam melabur, sederhana dalam sukan. Bill Gates hebat dalam perisian Microsoft, sederhana dalam muzik, Jeff Bezos hebat dalam Amazon, sederhana dalam muzik dan sukan. Mark Zuckerberg hebat dalam Facebook, sederhana dalam pakaian. Adakah orang-orang ini hebat dalam semua perkara? Tidak, tapi mereka ada keutamaan iaitu untuk melayani lebih ramai orang menggunakan perkara yang mereka minati. Akhir sekali, apa keutamaan kita? Dan bagaimana cara untuk menggunakannya dalam melayani lebih ramai orang? Kelemahan dalam 2 perkara inilah yang menyebabkan kita tidak kaya.
4. Apa yang perlu dilakukan bila kita berfikiran negatif tentang diri kita?
Fokus pada perkara-perkara yang menyenangkan dan yakinkan diri kita bahawa segala nasib malang kita akan berakhir. Lagipun, ada banyak perkara yang kita sepatutnya bersyukur dalam hidup ini dan ia patut dijadikan sasaran fikiran kita. Kurang-kurangkan berfikir tentang perkara yang kita tidak ada. Tapi, jika kita masih menginginkannya, rancanglah secara sistematik, dan sedarkan diri yang keinginan ini akan menyakitkan kita dalam berbagai cara. Kita disakiti kerana keinginan kita sendiri, kita mahu situasi berlaku menurut keinginan kita dan bila tidak menurut keinginan kita, kita merasa direndahkan atau tidak bernilai. Bayangkan jika kita hanya memberi dan tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan, saya fikir kita akan menjadi lebih positif dari sebelumnya.
5. Siapa saya?
Mungkin ada antara kita yang melihat soalan ini sebagai soalan yang bernada sombong. Tapi tahukah kita, yang jawapan dari soalan ini diperlukan oleh majikan-majikan untuk mempertimbangkan permohonan kita untuk bekerja dalam syarikat mereka? Kita mesti tahu bagaimana bagaimana untuk menerangkan siapa diri kita. Dan ini jawapan saya, “Saya Santro Sondy, seorang Pembantu Tadbir dari segi kerjaya, dan juga Blogger separuh masa. Tujuan hidup saya adalah untuk membawa lebih banyak nilai kepada lebih ramai orang. Saya percaya setiap orang boleh berfikir dan bertumbuh lebih baik. Dengan minda dan persekitaran yang menyokong, kita boleh menjadi sesiapa saja yang kita mahukan. Saya dilahirkan di Dunia ini tanpa apa-apa dan saya ingin meninggalkan sesuatu yang positif sepanjang hayat saya.”.
6. Apa yang buku boleh lakukan untuk kita?
Saya menjawab soalan ini ketika dalam keadaan lapar. Idea yang saya dapat kaitkan dari situasi ini ialah apabila kita tidak dapat berfikir tentang jawapan kepada sesuatu persoalan, kita boleh guna buku untuk menjawab persoalan tersebut. Sesetengah orang diberikan keistimewaan untuk mereka jawaban kepada setiap persoalan yang timbul difikiran mereka atau orang lain. Kita boleh gunakan buku tulisan mereka sebagai rujukan untuk menjawab persoalan hidup kita.
7. Adakah kita yakin dengan buku yang kita baca?
Kita mungkin mempunyai banyak buku yang telah menjawab persoalan kita, tapi kita tidak meyakininya hingga membuatkan kita merasa kosong dan hilang arah. Situasi ini sama seperti orang yang mempersoalkan kewujudan Tuhan. Penulis buku diberikan pengetahuan untuk menulis buku supaya dapat dijadikan rujukan oleh orang lain untuk membuatkan hidup lebih baik. Pada tahap ini, kita mesti memilih buku yang dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih baik pada aspek-aspek penting dalam hidup kita seperti kerohanian, kesihatan dan kewangan. Walaupun, apa yang tertulis di buku tidaklah 100% sama dengan keadaan sebenar, ia masih sangat berguna untuk jawapan hitam putih pada persoalan hidup kita.