1. Berfikir dan Lihat
Saya tersedar sesuatu pada susunan lirik di rangkap yang pertama iaitu baris pertama dan kedua. Apa yang saya sedar ialah FIKIR dahulu kemudian LIHAT. Berbeza dengan Lihat dahulu kemudian Fikir. Saya fikir ini adalah perkara yang baik untuk dipupuk menjadi tabiat kekal dalam diri, kerana saya percaya apa yang ada dalam fikiran kita, itulah yang kita lihat.
Bila kita berfikir dahulu kemudian melihat, kita cenderung untuk menjadi apa yang kita fikirkan. Sebaliknya, jika kita lihat dahulu, kemudian fikir, kita cenderung untuk menjadi apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat boleh dimanipulasi oleh masyarakat yang ada disekliling kita, tetapi dalam fikiran kita, tiada siapa yang boleh baca kecuali Tuhan.
Sebagai contoh, kita melihat iklan Ayam KFC yang sedap, sebenarnya kita tidak perlukan KFC untuk hidup, tapi kita tetap membeli juga kerana kita telah melihat dan terfikir tentangnya. Tetapi bagaimana pula, kalau sekiranya kita sudah terfikir mengumpul duit untuk membeli Handphone baru, pastinya kita mempunyai sebab kukuh untuk tidak membeli KFC sehingga matlamat kita tercapai.
We think we see the world as it is, when in fact we see the world as we are. – Stephen R. Covey
2. Berdiri semula setelah jatuh
Sebelum ini saya fikir orang-orang yang bergelar jutawan adalah orang-orang yang tidak pernah gagal. Tetapi, pandangan saya berubah setelah membaca buku tulisan Benjamin Graham yang bertajuk The Intelligent Investor. Buku itu mengajar saya untuk mendapat lebih banyak kemenangan berbanding kekalahan. Dan buku ini, memberikan saya lebih sebab untuk berdiri semula setelah jatuh, kerana saya memahami selagi ada nafas, kita masih lagi ada peluang untuk mencapai lebih kemenangan.
Poin saya disini ialah Berdiri semula setelah jatuh, dan bukannya sengaja menjatuhkan atau mengagalkan diri. Sangat penting juga untuk sentiasa menang, dan untuk menang anda mesti sentiasa bersedia. Tetapi, jika anda kalah, jangan lupa untuk berdiri semula.
3. Belajar untuk hidup berdikari
Uruslah hidup sendiri tanpa membebankan orang lain, tidak perlu terlalu bergantung pada orang lain. Hanya bergantung pada orang lain, setelah benar-benar perlu. Tetapi selagi mampu, elakkan daripada membebankan orang lain. Kalau anda mahukan kebebasan, belajarlah untuk mengurus kehidupan sendiri. Sebabnya, jika kita tidak dapat mengurus kehidupan kita, maka, orang lain yang akan mengurus kehidupan kita.
Tambahan lagi, jika anda mahu menjadi ketua, anda mesti terlebih dahulu mampu mengurus diri sendiri, sebelum anda boleh mengurus orang lain. Secara logiknya, ini adalah kriteria yang perlu ada untuk menjadi ketua dalam sesebuah organisasi. Saya fikir, ketua yang baik mesti mempunyai sifat berdikari seperti Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.
You must manage yourself before you can lead someone else. – Zig Ziglar
4. Teruskan Maju ke Matlamat
Saya belajar ini dari ayat Polombuson ku laangku. Memang tiada kelihatan perkataan matlamat pada ayat ini, tetapi ada perkataan “laangku” yang bermaksud “langkahku”. Saya faham yang setiap langkah kaki kita akan membawa kita ke satu tempat yang kita mahukan. Matlamat yang kita tetapkan pun mesti khusus dan jelas. Jangan membuang-buang masa melangkah tanpa matlamat yang jelas.
Dalam menetapkan matlamat, saya suka menggunakan akronim SMARTER iaitu Specific, Measurable, Achievable, Relevant, Timely, Ethical, Recorded. Anda boleh menyaring penetapan matlamat anda menggunakan akronim ini. Apabila anda sudah mempunyai matlamat, fokus anda akan menjadi lebih tajam lagi sehingga boleh mengharungi cabaran-cabaran dalam hidup. Apa Matlamat anda?
5. Berani membuat pilihan
Ada banyak pilihan yang tersedia dalam hidup kita, ada pilihan yang membuatkan hidup kita baik dan ada pilihan yang membuatkan hidup kita kurang baik dalam jangka masa yang PANJANG. Dan faktanya, anda kena berani membuat pilihan. Sebagai contoh, memilih pemimpin negara dan memilih pasangan hidup.