Penulisan blog bukan lagi sesuatu yang baru pada masa ini.
Ia telah lama menjadi bualan hampir keseluruhan pengguna internet dunia.
Ada blogger yang telah lama berhenti, dan masih ada lagi yang bertahan hingga sekarang.
Ada yang telah bertekad untuk mendedikasikan hidup mereka sebagai blogger atau dalam kata lain, mereka berkerja sebagai penulis blog.
Seperti Timon Adiyoso, blogger yang berasal dari Indonesia, dia ialah pembangun blog Mastimon.com, yang juga menjadi antara blog kegemaran saya pada masa ini.
Saya menyukai blognya kerana saya merasa seperti orang yang bercakap dengan saya.
Ayat-ayat yang dia gunakan sederhana, tetapi bermanfaat.
Ya, tidak dapat dinafikan, ada beberapa kesalahan ejaan yang saya temui ketika membaca artikelnya, tapi itu menghidupkan lagi artikel yang dia tulis.
Orangnya pun sederhana.
Saya juga turut mengikutinya di Youtube dan menonton video-video yang hampir keseluruhannya adalah tentang blogger.
Dari blognya juga, saya telah mempelajari beberapa perkara yang patut saya contohi.
Apakah itu?
Ya, itulah yang akan saya kongsikan dalam artikel ini iaitu 10 Tips untuk bertumbuh menjadi penulis blog.
Tanpa membuang masa lagi, mari semak tips-tips ini.
Michael Burrows / Imej Pexels
1. Membaca Buku Berkaitan
Membaca dapat membantu kita menambah perbendaharaan kata.
Jadi, kita kena memilih buku yang sesuai dengan minat atau keperluan kita.
Ini kerana, anda akan lebih cepat belajar jika anda membaca buku yang berkaitan dengan minat kita.
Sebagai contoh, jika kita mahu menulis tentang kewangan, maka bacalah buku tentang kewangan dan ekonomi, kerana kedua-duanya saling berkaitan.
Saya lebih suka menulis tentang perkembangan diri, kerana saya telah terinspirasi oleh tulisan Napoleon Hill yang bertajuk “Think and Grow Rich”.
2. Menandakan Ayat yang menarik
Kita akan tahu dan merasai sendiri jika kita sangat menyukai sesuatu ayat dalam buku yang kita sedang baca.
Perasaan itu muncul sangat jelas dan jangan pernah memandang rendah pada perasaan itu.
Ini kerana, teks itu lebih banyak mengubah atau mengajar anda kerana ia langsung terhubung dengan emosi anda.
Oleh itu, ambil perhatian untuk poin ini, kerana ia dapat membantu anda menjadi penulis yang baik.
3. Menulis 100 patah perkataan sehari
Adakah anda berasa sukar untuk menulis artikel?
Saya yakin, anda pasti boleh, sekiranya anda sudah mampu menulis dan membaca.
Sebenarnya, menulis 700 patah perkataan tidaklah susah, apa lagi jika anda sudah mempunyai poin-poin penting yang ingin disampaikan.
Dengan teknik 100 perkataan sehari, anda dengan sangat mudah akan mampu menulis seberapa banyak jumlah perkataan pun.
Sekiranya anda mahu menulis menggunakan Handphone anda, silakan muat turun Aplikasi Evernote.
Aplikasi ini akan memudahkan anda untuk mengira jumlah patah perkataan bagi artikel yang anda akan tulis.
Sekiranya anda menggunakan laptop, anda boleh menggunakan Microsoft Word.
Selain itu, anda juga boleh mengira jumlah perkataan menggunakan Google Extension iaitu Word Counter Plus.
Sila lihat artikel Cara Memasang Word Counter Plus di Laptop.
4. Meletakkan minda penulis yang betul
Keadaan minda semasa menulis memainkan peranan penting bagi seorang penulis.
Ini kerana, tanpa minda yang betul, kita akan berputus asa dengan cepat.
Minda yang betul bagi seorang penulis ialah minda suka menulis.
Apabila kita suka menulis, kita akan terus menulis walaupun tanpa pembaca.
Jika kita menulis kerana mahu menjana wang, sangat mustahil untuk orang tersebut bertahan lama.
Ini kerana, bidang penulisan merupakan bidang yang menjana pendapatan dalam jangka masa panjang.
Anda menulis pada hari ini, mungkin hasilnya akan kelihatan 3-5 tahun akan datang.
Tapi bagi saya sendiri, saya suka menulis dan suka menjana wang dari hasil penulisan saya.
Bagaimana dengan anda?
5. Mengikuti penulis blog terkenal
Blogger terkenal seperti Darren Rowse dan Pat Flynn boleh membantu anda untuk mengembangkan pengetahuan anda tentang dunia blogging.
Setiap blogger mempunyai kekuatan dan kelemahannya masing-masing, walaupun begitu, mereka tetapi berusaha untuk menulis.
Mungkin anda pernah mendengar, “kita adalah dengan siapa kita bersahabat”, nah, berkawanlah dengan para blogger yang sudah lama berkecimpung dalam dunia blogger.
Dengan bersahabat baik dengan mereka, anda boleh terus bertanyakan sebarang masalah kepada kepada mereka sekiranya ada keraguan.
Anda boleh melakukan ini dengan mengikuti mereka di sosial media seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
6. Belajar dari penulis terkenal
Penulis terkenal mempunyai teknik-teknik penulisan yang sangat berguna untuk dipelajari.
Anda mungkin boleh belajar cara mereka memulakan artikel, menerangkan isi-isi penting dan membuat ayat penutup dalam setiap artikel mereka.
Selepas mempelajari sesuatu, buat satu usaha untuk mengongsikan apa yang anda pelajari di media sosial, ini akan membantu anda untuk lebih memahami apa yang anda telah pelajari.
Rakan-rakan anda juga akan tahu apa yang anda ketahui.
7. Membuat akaun di sosial media
Ya, jika anda belum mempunyai sosial media, anda kena membuka satu akaun untuk setiap sosial media, supaya pengguna-pengguna sosial media tersebut dapat melawat blog anda apabila mereka melihat profil anda.
Sebagai contoh, saya telah pun membuat akaun di Tik Tok, Twitter, Facebook, LinkedIn, Pinterest dan Instagram.
Anda tidak perlulah mengemaskini semua sosial media ini setiap hari, mungkin 4 kali sebulan pun sudah cukup.
Tapi jika anda serius dengan blog anda, maka, anda kena berkerja setiap hari untuk membawa lebih ramai pelawat ke blog anda.
8. Merasai keseronokan menyusun ayat
Setiap tulisan atau perkataan yang anda gunakan dapat membawa nilai dalam kehidupan seseorang.
Tambahan lagi, jika seorang yang lemah dalam percakapan, mungkin anda boleh mencuba untuk berkomunikasi melalui tulisan.
Jangan pernah memandang rendah pada maklumat-maklumat yang terdapat dalam bentuk tulisan, kerana tulisanlah yang telah memajukan setiap apa yang anda lihat di sekeliling anda pada masa ini.
Dengan menulis, anda boleh menyusun ayat mengikut kehendak hati anda.
Anda cuma perlu pilih? ayat Doktor, ayat Polis, ayat Peguam, ayat Youtuber, ayat-ayat motivasi, ayat-ayat cinta atau pantun.
Seperti contoh dibawah;
Hujan turun dipetang hariAirnya menimpa si daun KeladiHendak berusaha menagih simpatiTerima Kasih Datanglah Lagi
9. Membuat satu poin dalam satu situasi
Salah satu kemahiran yang saya dapat ketika mahu bercita-cita menjadi seorang blogger ialah membuat satu poin yang dapat mengambarkan suatu keadaan.
Dengan adanya kemahiran ini, ia akan memudahkan anda untuk berkomunikasi dengan lebih ramai orang, asalkan anda tidak lupa akan poin-poin penting yang hendak diperkatakan.
Anda boleh melihat sendiri dari artikel ini, ada 10 poin yang saya ketengahkan untuk memperkayakan lagi perkataan-perkataan dalam blog ini.
Sebenarnya, poin-poin ini datang tiba-tiba, tidak kira masa dan tempat.
Sebab itu, saya suka membawa kertas atau Evernote dalam handphone untuk menulis poin-poin yang terlintas dalam fikiran saya.
Semua orang mempunyai kelebihan seperti ini, cumanya, idea itu tidak diendahkannya atau lupa kerna tidak dicatat secepatnya.
10. Membuat sebuah blog (Utama)
Anda tidak lagi layak dipanggil Blogger sekiranya anda masih tidak mempunyai blog.
Anda boleh menyimpan semua artikel yang anda tulis di dalam website supaya anda dan rakan-rakan anda dapat membacanya setiap masa bila diperlukan.
Sekiranya anda masih lagi tidak sanggup untuk membeli nama blog sendiri, anda boleh memulakanya dengan percuma dari platform blogger.
Saya telah menyediakan Tutorial Mudah Membuat Blog dengan Blogger untuk dijadikan bahan rujukan anda.
Selepas sahaja berjaya membuat blog, mulakanlah menulis artikel, secara berperingkat-peringkat, seperti yang saya terangkan pada poin No.3 diatas.
Kesimpulan
Hanya 10 sahaja tips yang saya dapat kongsikan buat masa ini.
Saya harap pada masa akan datang, akan ada lagi tips yang baik untuk dikongsikan kepada sahabat-sahabat semua.
Gunakanlah tips-tips ini untuk kebaikan blog anda. Semoga dengan tips-tips ini blog anda akan bertumbuh lebih mantap dan trafik juga akan bertambah-tambah.
Mungkin blog anda boleh menjadi blog terbaik di Malaysia, Indonesia atau Singapura.
Siapa tahukan? Tapi yang penting, penulis blog kena konsisten dengan apa yang mereka ada.
Akhir sekali, berikan makanan pada blog anda dengan artikel-artikel yang baru sekerap yang boleh.
Semoga bermanfaat.