Saya sering tertanya-tanya apa tabiat-tabiat orang-orang yang berjaya di internet. Pertanyaan saya ini walaupun sudah banyak jawapan yang ada di internet, saya masih tidak meyakininya. Namun, pada 6 Mei 2020, saya telah membeli sebuah buku yang bertajuk “The Winners Lifestyle” yang ditulis oleh Daniel Ally.
The Winner’s Lifestyle
Ketika membeli buku ini, saya gembira kerana sebentar lagi saya akan mengetahui tabiat-tabiat seorang pemenang. Dipendekkan cerita, akhirnya buku tersebut telah sampai ke tangan saya, dan saya pun mulalah membacanya sehingga habis. Ada 10 perkara yang paling meninggalkan kesan pada diri saya sepanjang membaca buku ini.
1. Teruskan Hidup Secara Teratur
Kehidupan yang teratur akan membantu kita berfikir lebih jelas dan mencapai hasil yang terbaik. Ramai antara kita yang tidak mendapat apa yang kita mahukan kerana kita tidak menjumpai apa yang kita perlukan. 1 Minute rule yang ditulis dalam buku ini bermaksud setiap kali kita perlukan sesuatu, kita akan dapat menjumpai barang tersebut dalam masa 1 minit. Itulah kehidupan kita bila hidup kita teratur.
2. Menulis Setiap Hari
Menulis setiap hari akan mengubah cara kita bercakap, berfikir dan memahami. Cara terbaik untuk mencabar diri kita ialah dengan menulis 1,000 patah perkataan sehari yang mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam paling minimum. Jika 1,000 adalah terlalu banyak untuk kita, mulakan dengan 250 atau 500 setiap hari dan tingkatkannya perlahan-lahan hingga mencapai matlamat kita.
3. Gunakan Sosial Media
Jika kita adalah orang yang berminat untuk berniaga, kita boleh memaksimum sosial media sebagai alat pemasaran. Kini, ramai yang lebih suka menonton video tidak kurang juga yang membaca. Tidak hairanlah beribu-ribu video dan blog diterbitkan setiap hari. Video adalah medium terbaik untuk mempersembahkan perniagaan kita kepada kawan-kawan kita. Ia lebih kelihatan hidup, berbanding perniagaan yang dipersembahkan melalui teks. Sama ada kita suka menulis atau membuat video, letakkan kerja kita di sosial media untuk mendapat lebih keuntungan.
4. Jejaki perbelanjaan diri
Jika kita tidak mengukur, kita tidak akan dapat mengurus. Bagi kita yang mahu menyelesaikan masalah kehabisan wang, mulakan tabiat ini, setiap kali kita membeli sesuatu, pastikan kita menulisnya pada buku kecil, walaupun itu hanya RM1. Kemudian, tanya diri kita “Adakah saya akan membeli benda ini semula pada 60 hari yang akan datang?”. Bila kita tanyakan soalan ini pada diri kita, kita akan menolak setengah dari pembelian besar yang kita lakukan. Ingat walaupun perkara akan memberikan impak pada diri dan kewangan kita.
5. Membaca buku
Bila kita membaca, kita sedang mula membentuk fikiran kita. Membaca buku dapat memberikan idea baru untuk kita menghasilkan lebih banyak produk. Melalui membaca juga, kita dapat belajar sesuatu dalam 1 tahun tentang apa yang kebanyakan orang belajar dalam seumur hidup mereka. Jika kita memilih 10 buku untuk setiap subjek sepanjang tahun dan mempelajarinya dengan BAIK, kita boleh menjadi orang yang pakar. Butiran dalam buku lebih lengkap berbanding surat khabar, majalah, blog dan artikel. Inilah yang menyebabkan buku adalah pilihan terbaik untuk dijadikan bahan bacaan kita setiap tahun. Inilah The Winners Lifestyle.
6. Berpakaian dengan baik
Pakaian mempengaruhi respon orang lain terhadap diri kita. Bukan itu saja, pakaian yang baik juga akan membuatkan kita merasa yakin. Kita lebih cenderung untuk beraksi dengan baik jika kita memakai pakaian yang sesuai. Rajin-rajinlah menyediakan pakaian kita, supaya bila kita perlukan, kita dapat berpakaian dengan baik dalam masa yang singkat. Kebanyakkan orang tidak berpakaian dengan baik kerana mereka tiada masa untuk bersedia, sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa. Pakaian yang baik merangkumi warna, aksesori, wangi dan kesesuaian pakaian.
7. Setia dan Berdoa
Bila kita berdoa pada pencipta, kita mengakui had kita sebagai manusia, yang pada sudut lain sebenarnya membenarkan kita untuk bertumbuh tanpa had. Kita boleh berdoa untuk apa-apa sahaja, berdoa untuk menjadi lebih baik, lebih kuat, perhubungan, petunjuk, kebijaksanaan, kebenaran, kesihatan, makanan kegemaran, kesetiaan, pemahaman, dan kebendaan. Berdoa meletakkan kita sedang berhubung dengan yang Mahakuasa, yang dapat memberikan kita perhubungan yang lebih mendalam terhadap perkara yang kita sedang doakan.
8. Bercakap dihadapan umum
Bila kita belajar untuk bercakap dihadapan umum, ini akan meningkatkan keyakinan, harga diri, dan kemampuan kita untuk berhubung dengan orang lain. Bercakap didepan umum juga adalah cara yang terbaik untuk belajar cara berkomunikasi dengan seseorang atau kumpulan. Kita boleh gunakan cara ini untuk mengembangkan rangkaian kita. Ada banyak cara untuk belajar cara bercakap dihadapan umum yang hanya boleh dikuasai dari pengalaman dan mentor.
9. Menjadi Pakar
Kecemerlangan kita dalam bidang pekerjaan pilihan kita pastinya mempunyai pemintaan yang tinggi. Setiap bidang pekerjaan mempunyai peluang yang terbuka untuk kita menjadi yang terbaik secara peribadi dan profesional. Potensi kita sedang menunggu kita untuk mencarinya. Jika kita tidak menyukai apa yang kita sedang lakukan, letakkan bakat kita dimana ia boleh dimaksimumkan dalam pekerjaan yang kita sedang lakukan. Pastikan kita meletakkan potensi diri kita sebagai alat yang berguna kepada masyarakat dan dunia profesional kita. Masa akan memberitahu yang kita semua orang boleh menjadi alat yang berguna antara satu sama lain.