10 perkara yang harus dipegang bila merasa bodoh agar impian yang dibina selama 5 tahun tidak musnah dalam 5 saat. Jika pendirian runtuh, maka diri akan hilang pertimbangan baik. Memegang satu kebenaran akan membuatkan diri sentiasa peka terhadap keperluan orang lain, semua itu bermula dari pendirian asas yang kita pegang walau apapun keadaan. Dalam artikel ini, saya akan mengongsikan 10 perkara yang harus anda pegang apabila anda merasa bodoh iaitu;
Kredit: FlowerFlister Photograph
10 Perkara Yang Harus Dipegang Bila Merasa Bodoh
1. Selalu Letakkan Tuhan Yang Pertama
Tuhan boleh memberikan apa saja yang kita mahukan. Tetapi, kita mesti selalu berhubungan dengan Dia. Caranya ialah dengan memberitahu setiap kegembiraan atau masalah kepada Dia. Bila kita sedih, gembira atau tertanya-tanya, beritahu Dia. Bila kita mahukan sesuatu, minta dari Dia. Setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita, beritahu dan kongsikan kepada Dia. Walaupun kita tahu, Dia tahu semua perkara. Itu hanyalah untuk menunjukkan yang kita mahu berhubungan dengan Dia. Tiada tempat lain yang kita boleh bergantung selain dari Tuhan. Tetaplah setia kepada Tuhan walau apapun cabaran hidup yang datang dalam hidup kita.
2. Lakukan Perkara Penting Setiap Hari
Kita merasa bodoh kerana kita sedang belajar sesuatu yang baru. Jika anda merasa bodoh pada masa ini, keluarlah dari perasaan negatif itu dengan melakukan perkara-perkara yang anda tahu SETIAP HARI. Selain itu juga, jangan pernah memandang rendah pada perkara-perkara yang anda tahu, kerana itulah yang membentuk siapa anda pada hari ini. Jangan lupakan perkara penting ini. Saya menerima ini sebagai fakta dalam hidup saya, iaitu jika kita melakukan perkara yang kita tahu setiap hari dan berpegang pada pengetahuan itu, kita akan dapat melupakan kebodohan kita. Lakukanlah perkara penting setiap hari sekiranya anda merasa bodoh lagi pada masa depan.
Baca juga 31 Tips Supaya Konsisten Sepanjang Tahun dan Meningkat 12% lebih baik
3. Tulis Matlamat Hidup
Menulis ialah tindakan yang menjadikan kita berfikir lebih realistik. Ini kerana, semasa menulis, kita akan menganalisis semua pengalaman-pengalaman hidup dan mengungkapkannya dengan penuh pertimbangan dalam bentuk tulisan. Menulis juga dapat mengelakkan kita daripada lupa tentang apa yang penting dalam hidup kita. Sebaik saja kita menulis matlamat kita, tulisan itu tidak akan berubah (kecuali ada orang yang mengubah tulisan itu) dan anda boleh melihat kembali tulis itu untuk menyedarkan anda supaya kembali kepada matlamat asal.
4. Mengatur Matlamat Hidup
Banyak perkara yang perlu kita atur setiap hari. Matlamat kita untuk Tuhan, keluarga, masyarakat dan negara, semua itu boleh kita boleh lakukan sekiranya diatur dengan baik. Susun matlamat kita mengikut keperluan. Dahulukan mana yang memerlukan perhatian segera. Saya sangat menyukai perkataan ini, kerana bila disebut saja perkataan MENGATUR, saya terbayangkan air yang mengalir dengan lancar melalui bentuk-bentuk muka bumi yang pelbagai. Poinnya disini ialah atur matlamat anda seperti air yang mampu untuk terus maju ke depan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.
5. Bina Hidup Yang Diimpikan
Bila anda merasa bodoh, bawa fikiran anda untuk fokus membina hidup yang anda impikan. Elakkan daripada terus tenggelam dalam perasaan negatif. Fikir dan gerakkan badan anda pada tindakan yang membina. Sebagai contoh, semasa saya menulis artikel ini, saya sebenarnya merasa kurang yakin dengan gaya penulisan saya, tapi oleh kerana saya mempunyai impian yang besar untuk blog ini, saya terus fokus pada tindakan menyusun perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, sehingga terhasillah artikel yang anda baca sekarang ini.
6. Ingat Masa Anda Sangat Terhad Jadilah Bijak
Jika anda masih mempunyai banyak matlamat yang belum tercapai, ingatlah bahawa anda hanya mempunyai 24 jam dalam sehari. Uruslah masa tersebut supaya anda dapat bertumbuh lebih dekat pada matlamat anda dalam rentak harian. Berusahalah untuk maju semakin hari semakin dekat pada matlamat anda. Kerana faktanya ialah usia kita semakin hari semakin meningkat. Sebab itulah kita menyambut ulang tahun setiap tahun. Akan ada masanya kita tidak mampu lagi melakukan apa yang kita mampu lakukan pada masa muda. Sekaranglah masanya untuk kita lakukan apa yang kita mahu lakukan.
7. Beri Tumpuan Pada Keperluan
Bila anda merasa bodoh kerana melakukan sesuatu yang bukan keperluan, fikirkan semula, adakah perkara tersebut layak untuk menjadikan anda berperasaan negatif. Jika itu hanyalah kemahuan anda, tinggalkan perkara tersebut buat sementara waktu, dan beri tumpuan pada perkara-perkara yang menjadi keperluan anda. Anda tidak akan mati jika kemahuan anda tidak ditunaikan. Bila menyebut tentang keperluan, saya suka mengingatkan anda tentang Teori Hierarchy of Needs. Secara ringkasnya, teori ini menerangkan tentang keperluan-keperluan manusia. Saya cadangkan anda membaca lebih lanjut tentang ini dan jangan lupa untuk memasukkan Tuhan dalam senarai keperluan asas anda.
8. Layan Setiap Orang dengan Hormat
Menghormati setiap orang adalah satu sikap yang bermaruah. Sikap ini adalah wajar untuk dipegang di mana-mana saja anda berada sekarang ini. Bila anda merasa diri anda bodoh, simpan dalam fikiran tidak meninggalkan sikap ini, supaya orang akan terfikir, walaupun dia bodoh, dia tahu untuk menghormati orang lain. Di dalam dunia perniagaan, menghormati pelanggan boleh menambah nilai positif pada perniagaan anda. Dengan sikap ini, anda akan membuat setiap orang menghormati anda.
9. Hargai Kehidupan
Apabila anda merasa bodoh, berhenti sejenak dan lihat sekeliling anda, semua perkara-perkara yang anda miliki pada masa ini diberikan oleh Tuhan kerana anda layak untuk itu. Anda tidak memiliki apa yang anda mahu miliki kerana Tuhan tahu anda masih tidak dapat mengurus perkara itu dengan baik. Kehidupan yang anda lalui setiap hari adalah latihan yang menentukan sama ada anda layak untuk menjadi lebih baik atau sebaliknya. Disebabkan itulah, anda mesti menghargai kehidupan yang diberikan kepada anda untuk menjadi semakin hari semakin baik.
10. Fikir dan Bertumbuh Lebih Baik
Bila anda merasakan anda bodoh, fikirkan kenapa anda rasa anda bodoh? Setelah anda menemui jawapannya, tuliskan dan bertumbuhlah dengan melakukan perkara yang membuatkan anda tidak lagi bodoh. Belajarlah secara perlahan-lahan untuk melakukan perkara yang betul dan benar. Berfikir adalah langkah pertama untuk anda keluar dari kebodohan dan pertumbuhan akan kelihatan apabila anda mula melakukan perkara yang betul dan benar. Selain itu, anda mesti tahu bahawa pertumbuhan sentiasa berjalan selagi anda ada nafas di hidung. Jika anda mahu memahami lebih lanjut tentang topik berfikir dan bertumbuh lebih baik, saya menggalakkan anda untuk membaca buku “Think and Grow Rich” yang ditulis oleh Napoleon Hill. Dalam buku ini, anda akan belajar 13 prinsip untuk berfikir dan bertumbuh lebih baik.
Kesimpulan
Apabila anda merasakan diri anda bodoh, itu bermakna anda sedang belajar sesuatu yang baru. Saat inilah anda kena memilih untuk maju atau mundur. Peganglah 10 perkara yang dihuraikan dalam artikel ini kerana ia bukan saja menahan anda dari kemunduran malah mengalakkan anda ke arah kemajuan. Saya harap artikel ini dapat menambahkan nilai positif dalam hidup anda hari ini. Jumpa lagi.